Monday, May 3, 2010

Said Zahari: Kebebasan Media Sudah Mati Di Malaysia


TV SELANGOR


SHAH ALAM : Bekas Pengarang Utusan Melayu yang membantah pengambilalihan Umno terhadap akhbar berkenaan pada era 70-an, Said Zahari menyifatkan kebebasan media di negara ini mati.

Beliau menyifatkan ia petanda jelas kemerosotan amalan demokrasi di Malaysia lantaran kebebasan media adalah antara elemen penting dalam pemerintahan demokrasi berparlimen.

Said Zahari mentakrif kebebasan media sebagai keupayaaan sesebuah media menyampai maklumat atau suara masyarakat tanpa kawalan atau pengaruh pihak tertentu secara langsung mahupun tidak langsung.

Namun, Said Zahari berpendapat kebebasan media sudah tidak ada lagi di Malaysia malah kesal kerana media tempatan kini dikongkong parti politik mahupun kerajaan pemerintah.

Hal ini menyebabkan media tidak lagi mampu menyalur malumat yang tepat dan benar kepada rakyat.

"Kebebasan media tidak ada di Malaysia. Sudah mati. Apabila suratkhabar dipunyai parti politik dan dikuasai orang yang berkaitan dengan pemerintah, maka kebebasan tiada. Mereka tidak boleh tulis sesuka hati, kena ikut arahan majikan," katanya.

Said Zahari menyalahkan pelbagai akta berkaitan media di malaysia yang digubal bagi membatas kebebasan media hingga akhirnya pengarang lebih selesa mematuhi telunjuk pimpinan kerajaaan pemerintah.

"Sekarang banyak akta yang mengongkong percetakan, buku. Yang zaman saya tak ada. Bila ada akta ini, ia mengongkong pengamal media kerana tidak boleh menulis ikut keperluan.

"Tapi ikut dasar kerajaan atau tuan punya suratkhabar itu, yang terdiri daripada ahli politik bermakna tak ada kebebasan yang tulen," katanya.

No comments: