Tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) baru-baru ini dalam melakukan operasi merampas akhbar KABAR ERA PAKATAN di beberapa lokasi pengedar utama dan kedai-kedai penjual terutamanya di Wilayah Persekutuan amat dikesali. Dapat dirumuskan bahawa rampasan lebih 6,000 naskah yang membabitkan dua (2) buah edisi berasingan akhbar ini adalah bermotifkan politik semata-mata. Malah ramai di kalangan para pembaca dan pemerhati meyakini ianya disebabkan oleh paparan beberapa berita serta ulasan berkaitan kepimpinan Perdana Menteri Najib Razak yang menjadi tajuk utama.
Sepertimana telah diketahui tindakan merampas akhbar tanpa sebarang pemberitahuan notis awal dan siasatan ini berlaku di sekitar Ipoh dan Taiping di negeri Perak dan sekitar Gombak serta Sentul di Wilayah Persekutuan. Adalah jelas pihak KDN tidak mengikut tatacara kerja dan prosedur profesionalisme dalam melakukan rampasan tersebut. Sebaliknya mengundang banyak pertanyaan, dan juga membayangkan ianya adalah bagi menakut-nakutkan para penjual di premis perniagaan yang mempunyai jumlah tinggi pembeli-pembaca akhbar berkenaan.
Ramai yang mengecam rampasan berkenaan sebagai penghalang kebebasan media dalam melakukan laporan maklumat dan sekali lagi bukti nyata BN menyalahgunakan kuasa dalam mengekang akses media kepada para pembaca. Disifatkan tindakan beberapa pegawai KDN dan penguatkuasa berkenaan berkemungkinan besar dilakukan semata-mata bagi penghalang pengedaran dan huraian berita yang mengaitkan hubungan Najib Razak bersama Razak Baginda menerima komisen pembelian kapal selam Scorpene yang membawa kepada misteri tragedi pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaaribuu.
Malah dikatakan juga punca utama rampasan disebabkan pendedahan bukti-bukti lanjutan oleh Pakatan Rakyat semasa permulaan sesi perbahasan Dewan Rakyat lalu yang berkisar tentang peniruan konsep 1Malaysia daripada 1Israel atas nasihat para perunding imej APCO Worldwide.
Sehingga kini, tiada butiran penjelasan yang meyakinkan oleh pihak KDN kepada pengendali akhbar mahupun hujah kukuh bagi menerangkan tindakan terburu-buru dan tidak profesional itu. Pihak KDN hanya tampil memaklumkan dalam surat bertulis bahawa dikatakan akhbar KABAR ERA PAKATAN tiada permit di mana hakikatnya adalah sebaliknya. Adalah diharapkan Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Hussein segera tampil memberi sebab penjelasan rampasan yang lebih munasabah.
Insiden ini telah memperlihatkan Kerajaan BN berterusan cuba menyekat pengaruh media dalam situasi politik yang kini tidak memihak kepada BN-UMNO. Ini boleh dinilai melalui insiden penarikan balik penyiaran rancangan dokumentasi Sembilan (9) bahagian mengenai Empangan Bakun di RTM 2 dan campurtangan Jabatan Perdana Menteri melalui isteri Perdana Menteri yang melarang pengendalian program khas menganalisis Pilihanraya Kecil (PRK) Hulu Selangor di ntv7. Kedua-dua kes kekangan maklumat media ini telah menyebabkan penerbit penyiaran terlibat masing-masing menerima surat tamat khidmat serta protes berhenti kerja.
Campurtangan politik dalam media sebegini semakin ketara kembali sepertimana era pemerintahan mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad dengan sekatan melalui pelbagai peraturan draconian semata-mata mengawal berita-berita sensitif yang boleh menjejaskan kredibiliti pentadbiran lemah BN.
Oleh itu episod seperti rampasan akhbar atau penafian permit telah dijangka terutamanya dibawah teraju Najib Razak yang berhadapan dengan pelbagai isu skandal politik, permasalahan ekonomi, keselamatan dan imej peribadi seperti PKFZ, bantahan lesen judi sukan kepada Syarikat Ascot Sport milik Berjaya Corporation Berhad, integriti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), keengganan menubuhkan IPCMC bagi tujuan memantau kes-kes kecuaian dan salahguna kuasa polis, kontroversi kehilangan dua sumber ekonomi telaga minyak kepada Brunei sekadar menyebut beberapa contoh.
Tian Chua selaku Ahli Parlimen Batu dan Pengarah Biro Strategi PKR, mengutuk tindakan Kerajaan BN semakin rakus menyalahgunakan kuasa tanpa tanggunjawab selain dilihat jelas takut kepada pengaruh media terutamanya selepas kekalahan di PRK Sibu.
*Kenyataan media oleh Tian Chua selaku ahli parlimen Batu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan