Saturday, May 1, 2010

Pilihanraya Sarawak : Kisah Petrol dan Diesel

Oleh Era Pakatan

LONG BANGA (Miri): Lebih 1,000 penduduk kampung di kawasan pedalaman Long Banga, Ulu Baram, terpaksa membelanjakan RM500 hingga RM1,000 setiap bulan semata-mata bagi mendapatkan bekalan bahan api seperti gas memasak, diesel dan petrol setiap bulan.

Mereka bukan golongan berada atau kaya tetapi tidak mempunyai pilihan lain selain terpaksa membeli bahan api pada harga yang tinggi walaupun kerajaan sebelum ini sudah menyelaraskan harga petrol dan diesel melalui pemberian subsidi luar bandar Sarawak.

Pendek kata, diesel dan petrol umpama ‘permata’ yang amat tinggi nilainya di kawasan pedalaman, khususnya bagi penduduk yang majoritinya masih bergantung kepada hasil hutan atau pertanian sebagai sumber pendapatan mereka.

Bahan api adalah keperluan harian bagi menghidupkan jana kuasa elektrik untuk menerangi kediaman selain menjadi bahan bakar kepada pelbagai jenis kenderaan termasuk enjin bot serat pelbagai kegunaan lain.

Antara kawasan yang dimaksudkan adalah penempatan etnik seperti Saban, Kayan, Kenyah dan Penan di sini yang didiami lebih 40 keluarga.

Penduduk di kawasan yang terletak kira-kira 400 kilometer dari Miri ini hanya boleh dikunjungi menggunakan laluan lori balak dengan mereka masih dibelenggu masalah kekurangan bekalan bahan api itu dan kemudahan infrastruktur yang lain.

Difahamkan, kos hidup penduduk di kawasan berkenaan begitu tinggi kerana lokasinya terpencil sehingga menyebabkan penempatan itu kelihatan terpinggir dengan tempat lain di Sarawak.
Perjalanan 10 jam menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk sampai ke kampung itu sudah cukup menggambarkan kesulitan dihadapi penduduknya.

Pemilik kedai runcit di Long Banga, Jessy Keling, 42, menjelaskan penduduk di kawasan itu sudah mengalami masalah kesukaran mendapatkan bahan api itu sejak sekian lama.

Walaupun kerajaan baru-baru ini pernah mengumumkan memberikan subsidi bahan api kepada penduduk di kawasan berkenaan, beliau menjelaskan ia hanya bersifat sementara dan berkuat kuasa beberapa bulan saja.

Selepas setahun penduduk di Long Banga terus menghadapi masalah sama dan terpaksa menggunakan kayu api untuk memasak dan membeli diesel dan petrol pada harga tinggi berikutan ketiadaan perkhidmatan penghantaran barangan subsidi yang sah dilantik pihak berkuasa di kawasan itu.
“Justeru, penduduk kampung menuntut agar kerajaan menyelesaikan masalah itu secepat mungkin supaya penduduk dapat menikmati harga bahan api yang lebih murah seperti yang dijanjikan sebelum ini.

“Sudah setahun penghantaran minyak subsidi diesel dihentikan ke kawasan berkenaan.

Ia menyukarkan kehidupan penduduk di kawasan ini.

Setiap bulan kami terpaksa membelanjakan lebih RM500 untuk membeli bahan api.

Kos ini amat tinggi, sedangkan kami tidak mempunyai sebarang pendapatan yang tetap,” katanya.

Penduduk, Jame Ape, 37, mendakwa penduduk di Long Banga terpaksa ke Miri menggunakan kenderaan pacuan empat roda bagi mendapatkan bekalan bahan api.

Justeru, beliau berharap pihak berkuasa dapat melantik satu kontraktor khas bagi melakukan penghantaran barangan bersubsidi ke kawasan itu secepat mungkin.

No comments: