Saturday, May 1, 2010

Imam Besar Masjid Negeri Selangor Pertahan Kejuaraan Qari

BERNAMA

KLANG: Imam Besar Masjid Negeri Selangor, Ahmad Mustaffa Mohd Sidin berjaya mempertahankan gelaran johan qari pada Tilawah Al-Quran peringkat negeri di Masjid Jamek As-Syarif, Meru, dekat sini, malam ini.

Johan qariah pula disandang oleh Nor Ruzana Natiah Jaafar, seorang guru agama, di Jabatan Agama Islam, Selangor.

Ahmad Mustaffa, 36, yang mewakili daerah Hulu Selangor, memperoleh 82 peratus markah manakala Nor Ruzana Natiah, 27, dari Hulu Langat, mendapat 81 peratus.

Johan qari dan qariah berkenaan masing-masing menerima wang tunai RM5,000, piala pusingan, pakej umrah dan sepersalinan pakaian daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Naib juara qari pula dimenangi oleh Syamsul Abu Al Shaari dari Kuala Selangor dengan markah 80 peratus dan tempat ketiga oleh Ahmad Shukri Badarudin dari Gombak dengan 79.33 peratus.

Naib juara qariah pula dimenangi oleh juara bertahan Nor Faizah Panut dari Sepang dengan mengumpul markah 79 peratus diikuti Faizah Shafii dari Gombak dengan markah 74.66 peratus.

Naib juara qari dan qariah pula masing-masing menerima wang tunai RM4,000, piala iringan, sepersalinan pakaian manakala peserta di tempat ketiga menerima wang tunai RM3,500, sepersalinan pakaian dan sijil penyertaan.

No comments: