TV SELANGOR
SHAH ALAM - Peguambela keluarga remaja mati ditembak polis Aminulrasyid Amzah, N Surendran dan Latheefa Koya terkilan dengan tindakan terburu-buru panel khas semalam melawat lokasi kejadian pada waktu malam.
Latheefa juga melahirkan rasa sedih dengan tindakan panel khas tersebut tanpa memberitahu peguam dan keluarga Aminulrasyid berhubung lawatan tersebut.
"Panel khas ini sepatutnya membuat lawatan ke tempat kejadian pada waktu siang dan dengan cara yang tertib.
"Kami sudah hantar surat pada Kementerian Dalam Negeri pada 3 Mei untuk mendapatkan skop siasatan panel khas ini dan sampai sekarang tidak ada apa-apa berita," kata Latheefa kepada media selepas mengiringi saksi utama Azzamuddin Omar memberikan keterangan kepada pihak polis bagi kali ketiga di Ibu Pejabat Kontinjen Polis di sini tengahari tadi.
Menurutnya Latheefa, peguam dan keluarga mangsa hanya mendapat tahu panel khas yang ditubuhkan itu telah membuat lawatan ke tempat kejadian malam tadi.
"Apa yang kami tidak berpuas hati adalah tindakan mereka yang tidak memberitahu peguam dan keluarga berhubung lawatan tersebut.
"Kami rasa tindakan panel khas ini boleh dipersoalkan kerana untuk menunjukkan mereka buat kerja, mereka cuma memanggil wartawan dan pihak media sahaja tanpa merujuk peguam dan keluarga mangsa," kata beliau.
Beliau juga mempersoalkan penubuhan panel khas tersebut kerana suruhanjaya seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan suruhanjaya diraja mempunyai aktanya yang tersendiri manakala panel khas pula tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk membuat keputusan.
Dalam pada itu, Latheefa menegaskan agar suruhanjaya diraja berhubung insiden ini ditubuhkan secepat mungkin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan