PORT DICKSON — Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) mendapati lapan daripada 10 rakyat negara ini menyokong cadangan agar tempoh cuti bersalin dipanjangkan.
Setiausaha Agungnya J. Solomon berkata perkara itu diperolehi menerusi satu kajian yang dijalankan kesatuan tersebut.
Ramai bersetuju agar tempoh cuti bersalin dipanjangkan, malah mantan Wanita Pertama Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali adalah antara yang menurunkan tandatangan petisyen kami mengenai perkara itu, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Solomon berkata NUBE kini giat mengumpul sejuta tandatangan untuk petisyen itu sebelum diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Sehingga kini kira-kira 400,000 tandatangan telah diperolehi dan NUBE mempunyai masa sehingga Jun ini untuk mencapai sasaran, katanya.
Petisyen itu yang dilancarkan 8 Mac lepas bertujuan mendesak kerajaan meminda Akta Pekerjaan 1955 bagi menambah bilangan hari cuti bersalin daripada 60 hari sekarang kepada 90 hari, selaras dengan negara-negara anggota Asean yang lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan