Khamis, 20 Mei 2010

MIC pecat Mugilan serta-merta




KUALA LUMPUR — Timbalan Ketua Pemuda MIC V. Mugilan dipecat dari parti berkuat kuasa hari ini — keputusan dibuat presiden parti sehari selepas beliau memintanya berundur serta-merta.

The Malaysian Insider difahamkan surat memecat Mugilan dikeluarkan petang ini dan keputusan itu dibuat oleh Datuk Seri S. Samy Vellu atas kapasitinya sebagai presiden.

Samy Vellu boleh berbuat demikian selepas berbincang dengan timbalannya.

Ia salah satu daripada tiga kaedah boleh diambil parti untuk memecat ahlinya.

“Ya, saya boleh sahkan yang dia sudah dipecat,” kata sumber ibu pejabat MIC.

Mugilan (gambar) yang dihubungi lewat petang ini berkata, beliau menerima apa-apa surat.

“Saya masih menunggu surat, sudah dua jam saya menunggu tetapi surat belum sampai,” katanya semasa dihubungi kira-kira 7.15 petang.

Sambil melahirkan rasa terkejut dengan keputusan ini, Mugilan berkata, perkembangan ini menunjukkan sudah tiada demokrasi dalam MIC.

Semalam Samy Vellu memaklumkan hendak merujuk kepada jawatankuasa disiplin tetapi hari ini sudah memecat, kata beliau.

Mugilan menambah, memandangkan Samy Vellu mendakwanya telah bertindak membelakangkan kepentingan Barisan Nasional, maka mahu membawa isu itu kepada pengetahuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Kalau benarlah saya bertindak bertentangan dengan kepentingan BN, sudah tentu BN sudah kalah majoriti 3,000 undi,” katanya.

Pemecatan ini merupakan yang kedua dalam tempoh seminggu ini.

Minggu lalu Samy Vellu memecat bekas orang kanannya V. Subramaniam atau yang dikenali sebagai Bharat Maniam.

Bharat Maniam akan merayu terhadap hukuman itu.

Pemecatan Mugilan, yang juga Ketua Pemuda Hulu Selangor dibuat sehari selepas Samy Vellu berkata beliau akan dihadapkan ke jawatankuasa disiplin kerana bertindak bertentangan dengan kepentingan parti dan BN semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor bulan lalu.

Samy Vellu berkata demikian kira-kira empat jam selepas Mugilan mengadakan sidang media tengah hari semalam menggesa beliau berundur segera dan menyerahkan tampuk kepimpinan kepada Datuk G. Palanivel.

Kelmarin Samy Vellu mengumumkan akan berundur dari jawatan presiden suku ketiga tahun depan.

Dalam pada itu, seorang sumber memberitahu The Malaysian Insider, surat untuk memecat Mugilan sebenarnya sudah disediakan sebelum pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Tetapi ia hanya dikuatkuasakan hari ini, kata sumber itu.

“Tindakan ini diambil untuk mengelakkan dia (Mugilan) dari terus merosakkan parti.

“Surat pemecatan dia telah disediakan sebelum pilihan raya kecil Hulu Selangor tetapi tidak dilaksanakan kerana khuatir akan menjejaskan BN.

“Sekarang pilihan raya kecil sudah berlaku, surat diberikan kepadanya,” katanya lagi.

Tiada ulasan: