Khamis, 20 Mei 2010

MIC Muak Dengan Samy Vellu

Oleh Roziyah Mahamad

KUALA LUMPUR : Ahli-ahli parti di semua peringkat sudah bosan dengan sikap Presiden MIC, Datk Seri S. Samy Vellu yang selama ini hanya menaburkan janji-janji kosong untuk berundur.

Bagi Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan, Samy Vellu sudah sepatutnya melepaskan jawatannya bagi membolehkan pelapis dalam parti mengambil alih teraju kepimpinan.

Mugilan berkata, parti komponen sudah tentu mahukan perubahan selepas 31 tahun diterajui oleh Samy Vellu.

"Saya telah hilang kepercayaan kepada presiden, seperti mana beliau (Samy Vellu) hilang kepercayaan dengan pucuk kepimpinan parti yang lalu," katanya kepada pemberita di sini hari ini sambil memberitahu bahawa Samy Vellu memainkan peranan mendesak bekas Presiden MIC, Tun V.T. Sambanthan supaya melepaskan jawatannya.

Beliau melahirkan kebimbangan MIC akan tumbang jika tiada sebarang perubahan berlaku meskipun terdapat mesej yang jelas daripada pemimpin, ahli komuniti India yang mahukan presiden baru.

Bagi beliau, MIC perlu diubah.

"Kita akan tewa dalam pilihan raya umum akan datang jika MIC masih diterajui Samy Vellu," kata beliau.

Semalam, Samy Vellu mengumumkan akan menyerahkan semua jawatannya kepada penggantinya dalam tempoh lapan atau sembilan bulan dari sekarang.

Tiada ulasan: