PETALING JAYA — Krisis abu akibat letusan gunung berapi Iceland baru-baru ini, menyebabkan Malaysia Airlines (MAS) kerugian sebanyak RM15 juta, dalam hanya seminggu.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tengku Datuk Azmil Zahruddin, berkata jumlah itu berpunca daripada kerugian jualan hinggalah kepada kos menyediakan penerbangan alternatif bagi pelanggan-pelanggan yang terkandas.
“Kami menganggarkan kesan negatif yang kami alami berjumlah kira-kira RM15 juta yang berpunca daripada pelbagai sebab.
“Yang pastinya ialah kerugian daripada jualan kerana orang yang mahu membuat penerbangan ke Eropah atau mereka dari Eropah yang mahu datang ke mari menukar fikiran.
“Kami juga terpaksa menanggung kos tambahan bagi pesawat yang tidak dapat membuat penerbangan, dan tentunya kami terpaksa mengadakan penerbangan tambahan untuk menampung penumpang yang semakin ramai terkandas,” katanya pada satu taklimat media mengenai keputusan suku pertama syarikat penerbangan itu di sini, hari ini.
Tengku Azmil berkata MAS tidak meraih keuntungan daripada penerbangan tambahan, sebaliknya mengalami kerugian kerana syarikat itu tidak mempunyai pilihan kecuali mengadakan penerbangan tambahan bagi mengurangkan tempoh menunggu bagi mereka yang terkandas.
“Awan abu melanda semula. Kali pertama ia berlaku tempohnya berlanjutan hingga seminggu. Kali ini sukar untuk meramalkannya, tetapi memang ruang udara Eropah ditutup baru-baru ini,” kata beliau.
Menurut Tengku Azmil MAS melewatkan beberapa penerbangan ke Eropah bagi memastikan ia mendarat di destinasi yang dijadualkan dan bukan di destinasi lain.
“Kami ada menerima berita mengatakan beberapa ruang udara telah dibuka semula dan kami telah menetapkan semula masa penerbangan manakala yang lainnya mengikut jadual,” jelas Tengku Azmil sambil menambah bahawa penutupan ruang udara itu tidak lama dan kesannya agak minimal.
Beliau juga berkata jika ruang udara ditutup bagi tempoh yang panjang, seperti sebelumnya, kesannya ke atas syarikat itu akan berlipat ganda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan