Isnin, 24 Mei 2010

Kuota gula ditingkatkan 400 tan


KUALA TERENGGANU - Kerajaan meningkatkan kuota bekalan gula negeri ini sebanyak 400 tan lagi pada bulan ini bagi 'melambakkan' bahan tersebut di pasaran.

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Terengganu, Mohd. Hilmi Mohd. Noor berkata, penambahan tersebut menjadikan jumlah kuota gula pada bulan ini sebanyak 2,268.5 tan.

Katanya, tindakan itu diambil bagi menangani masalah bekalan gula ekoran sikap pengguna di negeri ini yang membeli secara berlebihan.

''Sebenarnya, bekalan gula di negeri ini tidak mengalami kekurangan namun kerana sikap panik pengguna menyebabkan bahan ini tidak cukup di pasaran.

''Jadi kita berharap dengan melambakkan gula di pasaran akan menyelesaikan masalah dan ia tidak akan berlanjutan lagi," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga telah membatalkan arahan mengehadkan pembelian gula sebanyak dua kilogram seorang.

''Para pengguna sekarang boleh membeli sebanyak mana yang mereka mahu namun perlulah membeli mengikut keperluan

''Jangan membeli melebihi keperluan di mana keadaan ini akan menyebabkan orang lain pula tidak mendapat gula," ujarnya.

Beliau berkata, para peruncit, pemilik restoran dan peniaga diminta tidak menggunakan peluang berkenaan untuk 'berebut' dengan orang ramai.

''Jika mereka tidak mendapat bekalan yang cukup, boleh datang ke pejabat dan kita akan menyediakan bahan tersebut mengikut keperluan," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, dalam usaha memastikan bekalan gula mencukupi dan sampai pada waktunya, lori-lori pengilang diarahkan menghantar terus ke negeri ini.

''Sebagai contoh, lori yang membawa bekalan gula ke Besut dari pengilang di negeri-negeri di Pantai Barat yang sebelum ini akan transit di Kelantan dahulu, tidak lagi akan dibenarkan berbuat demikian.

''Tindakan ini yang berkuatkuasa 15 Mei lalu akan memastikan bekalan gula sampai tepat pada masanya dan kuantitinya cukup," jelasnya.

Tiada ulasan: