Rabu, 26 Mei 2010

KSSB serah dokumen pada Selcat hari ini

Abdul Rahim Sabri



Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) telah menyerahkan dokumen-dokumen yang diminta oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) yang akan mengadakan pendengaran awam minggu depan berhubung tuduhan penyelewengan pasir terhadap syarikat milik kerajaan negeri itu.

Menurut sumber DUN Selangor, dokumen tersebut dihantar melalui serahan tangan kepada Selcat kira-kirajam 3 petang tadi.

Malaysiakini difahamkan hari ini merupakan hari terakhir bagi syarikat tersebut menghantar dokumen yang diperlukan kepada jawatankuasa berkenaan.

Pendengaran awam Selcat itu akan diadakan di Bilik Gerakan, Tingkat 2, Bangunan Annex, DUN Selangor pada 2 hingga 4 Jun mulai jam 10 pagi hingga 1 tengahari.

Ketika dihubungi hari ini, Speaker DUN Selangor, Teng Chang Khim yang juga pengerusi Selcat berkata, persiapan telah dibuat untuk mengadakan pendengaran awam itu.

Pad

a 12 Mei lalu, ahli parlimen Kapar S Manikavasagam dilapor membuat laporan polis, mendakwa tiga pegawai kanan KSSB terbabit dalam operasi pelombongan pasir secara haram.

Dalam laporan polisnya, Manikavasagam antara lain mendakwa, tiga pegawai terbabit bertanggungjawab terhadap kerugian sebanyak RM10 juta akibat salah urus dan tindakan mengeluarkan permit kepada pengusaha lombong pasir haram.

Sidang media KSSB

Sementara itu, sumber KSSB berkata, syarikat itu dijangka mengadakan sidang media awal bulan depan, berhubung tuduhan penyelewengan terhadapnya dalam mengendalikan perlombongan pasir di negeri itu.

Difahamkan, sidang akhbar itu kemungkinan besar diadakan sebelum pendengaran awam Selcat minggu depan.

Bagaimanapun, menurut sumber syarikat milik kerajaan negeri itu, tidak dapat dipastikan masa dan tempat sidang media itu akan diadakan.

Sumber itu berkata, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu oleh pegawai atasannya hari ini.

Orang awam boleh hadir

Sementara itu, urusetia kerajaan Selangor, dalam satu kenyataan hari ini berkata, orang awam dialu-alukan untuk mengikuti pendengaran awam Selcat tersebut.

Menurutnya, rang awam juga boleh mengikuti sesi pendengaran awam tersebut secara siaran langsung melalui laman web TV kerajaan negeri Selangor di www.tvselangor.com.

Urusetia itu menasihatkan mereka yang berminat untuk menghadiri sesi pendengaran awam itu supaya berpakaian kemas.

Orang awam juga, tambahnya, boleh berhubung unit sekretariat akhbar pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di talian 03-55447456 untuk maklumat selanjutnya.

Tiada ulasan: