Sabtu, 1 Mei 2010

Keputusan Selangor dibantah


Jalan Barat yang ditukar nama sebagai Jalan V. David di Petaling Jaya mencetuskan kontroversi. - UTUSAN/Ismail kamadin


PETALING JAYA - Langkah kerajaan negeri Selangor menukar nama Jalan Barat di sini ke Jalan Dr. V. David sempena sambutan Hari Pekerja esok dibantah oleh segelintir pihak terutamanya bekas penduduk di kawasan tersebut.

Bagi mereka, isu yang kini menjadi pertikaian bukannya penukaran nama jalan itu, sebaliknya nama individu yang dipilih iaitu Dr. V. David.

David dilabelkan sebagai seorang yang tidak layak diberi penghormatan seumpama itu kerana dia dikatakan pernah menimbulkan pelbagai kontroversi ketika menjadi pemimpin salah sebuah parti pembangkang.

Beliau sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen Damansara pada tahun 1978 dan Puchong untuk dua penggal berturut-turut pada tahun 1986 dan 1990.

David juga dikatakan pernah ditahan di bawah Ordinan Darurat pada tahun 1958, selain pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1964, 1969 dan 1987.

Petang ini, kira-kira 30 penduduk berkumpul berhampiran Hilton Petaling Jaya di sini hari ini untuk melahirkan rasa tidak puas hati dengan penukaran nama itu.

Bagaimanapun, perhimpunan itu hanya bertahan selama 5 minit apabila polis meminta kumpulan penduduk itu beredar.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Muhamed berkata, polis terpaksa meminta mereka berbuat demikian sebelum keadaan menjadi kecoh.

"Semua kumpulan penduduk itu memberi kerjasama ketika diminta meninggalkan tempat itu tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Difahamkan, beberapa lagi kumpulan akan membuat tindakan yang sama pagi esok - menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan negeri.

Jalan Barat merupakan antara jalan utama di bandar raya Petaling Jaya yang dipisahkan oleh Jalan Utara dan Jalan Sultan. Antara premis yang terdapat di jalan tersebut adalah Hilton, Wisma MCIS Zurich, Wisma Thrifty dan Jabatan Pendaftaran Negara.

David yang juga bekas Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan bekas Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-Pekerja Pengangkutan (TWU) selama lebih tiga dekad meninggal dunia pada 2005 akibat serangan angin ahmar.

Tiada ulasan: