Sunday, May 2, 2010

Kebajikan Golongan Pekerja Kolar Biru Semakin Terhakis

SUARA KEADILAN

SHAH ALAM - Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), Rani Rasaiah menyuarakan kebimbangan terhadap nasib golongan pekerja kolar biru yang dibayar serendah RM400 sebulan tetapi merangkumi 70 peratus daripada jumlah pekerja bergaji di Malaysia.

Dalam kenyataan media semalam, Rani berkata keadaan pekerja am di Malaysia amat menyedihkan, di mana pekerja dibayar serendah RM400 sebulan untuk bekerja lapan jam sehari.

Lebih parah, majikan pula mengamalkan kaedah potongan kos yang membebankan pekerja dengan mengarahkan pekerja bekerja 12 jam untuk dua syif berbanding sebelumnya lapan jam untuk tiga syif.

Pekerja tempatan pula terpaksa bekerjasama kerana mereka perlu bersaing dengan pekerja asing yang kini 'berkerumun seperti lalat' di kawasan-kawasan perindustrian.

"Apabila kos kehidupan meningkat, kerajaan mengaut keuntungan dengan menswastakan kemudahan awam dan pengeluaran keperluan asas seperti belakan air dan elektrik dan ini membebankan lagi rakyat yang bergaji rendah," katanya.

Tambah Rani, langkah menswastakan kemudahan awam akan menyebabkan rakyat yang dulunya berharap kepada kemudahan ini kerana kurang kemampuan terpaksa mencari alternatif lain.

Memudahan yang sepatutnya untuk kesemua rakyat hanya boleh digunakan oleh mereka yang berkemampuan sahaja.

"Konsep 1Malaysia hanya satu propoganda oleh kerajaan untuk membuatkan golongan pekerja percaya bahawa kita semua hidup dengan aman dan tenteram sedangkan indeks 'coefficient' meletakkan Malaysia kedua terburuk dalam ketidakseimbangan pendapatan dalam masyarakat", jelas beliau.

Tegas Rani, sudah tiba masanya untuk golongan pekerja bersatu untuk mengembalikan hak yang telah terhakis untuk menjamin masa hadapan yang cerah bagi generasi akan datang.

No comments: