Sunday, May 2, 2010

CIJ Kesal RTM Batal Rancangan Sentuh Projek Bakun

SUARA KEADILAN

SHAH ALAM - Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), menggesa stesen televisyen samada yang dimiliki kerajaan atau swasta supaya menghentikan amalan penapisan rancangan berunsur berita kerana rakyat perlu tahu apa yang berlaku semasa pilihan raya sedang berlangsung.

Pegawai Komunikasi dan Penerbitan, Yip Wai Fon berkata CIJ berasa bimbang ekoran laporan media dimana seorang penerbit rancangan televisyen mendakwa rancangannya terpaksa dihentikan untuk memberi laluan kepada pilihan raya.

Penerbit rancangan, Chou Z Lam mendakwa dalam sidang akhbar pada 27 April lalu bahawa rancangannya yang berkisar mengenai kesusahan yang ditempuhi oleh Orang Asal yang terpaksa dipindahkan ke tempat lain disebabkan projek Empangan Bakun terpaksa dibatalkan.

Menurut Chou, rancangan beliau yang disiarkan melalui saluran TV2 telah diberhentikan oleh Pengarah Berita, Jumaat Engson selepas dua episod kerana dikatakan mengandungi unsur 'sensitif'.

Walaupun Chou diberitahu bahawa Jumaat telah mengambil tanggungjawab sepenuhnya untuk memberhentikan rancangannya, Chou percaya arahan tersebut telah dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahya.

Yip juga menekankan dalam dua kes membabitkan ntv7 dan TV2, pilihan raya kecil Hulu Selangor dijadikan alasan untuk tidak membincangkan isu-isu semasa yang sensitif kepada Umno dan Barisan Nasional.

"Jika kenyataan Chou adalah benar, ini hanya menonjolkan niat buruk pihak media yang menyembunyikan perkara sebenar daripada rakyat."

Ulas Yip, RTM patutnya mengambil kesempatan ini untuk membawa masalah kaum Orang Asal di kawasan Bakun kepada perhatian kerajaan pusat yang seolah-olah telah diabaikan sejak tahun 1998.


Kaum Orang Asal merupakan kaum yang paling dipinggirkan dan paling miskin di negara ini, dan tuntutan hak ke atas tanah tempat tinggal mereka yang diduduki sejak bergenerasi tidak diendahkan oleh kerajaan.

"Berita mengenainya juga tidak disiarkan kerana wujudnya kroni kerajaan di media aliran perdana yang mempunyai kepentingan tertentu.

"Walau bagaimanapun, kami menyanjung tinggi langkah Chow dan bekas penerbit ntv7, Joshua Wong yang berani tampil ke hadapan untuk mempertahankan pendirian dan menentang penapisan bermotifkan politik," kata Yip.

Kata Yip tidak ramai wartawan yang berani untuk tampil ke hadapan untuk menyuarakan ketidakadilan yang berlaku dalam sektor media kerana bimbang kerjaya mereka akan terjejas.

No comments: