Sabtu, 15 Mei 2010

Jadikan pengharaman Al-Arqam iktibar

UTUSAN ONLINE

KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) meminta umat Islam negara ini menjadikan kes pengharaman Al-Arqam sebagai peristiwa yang perlu dijadikan iktibar.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, peristiwa itu sudah cukup memberikan tamparan hebat dalam usaha perkembangan dakwah Islam di negara ini.

"Banyak lagi cara dakwah yang boleh dipilih tetapi bukannya dengan menghidupkan semula Al-Arqam,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan Al-Arqam di negara ini sejak badan dakwah terbesar di negara ini itu diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 5 Ogos 1994.

Semalam Ashaari Muhammad, 73, yang merupakan pengasas Al-Arqam meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru di Hospital Pakar Ipoh.

Allahyarham yang mengasaskan Al-Arqam pada 1968 selamat dikebumikan di tempat kelahirannya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pilin, Rembau, Negeri Sembilan, malam tadi.

Setelah Al-Arqam diharamkan, Ashaari ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dari 2 hingga 24 September 2004 sebelum ditahan mengikut Akta Kediaman Terhad di Rawang dan Wilayah Persekutuan Labuan selama 10 tahun.

Sambil mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham, Wan Mohammad berkata, Jakim yakin tidak ada pihak yang cuba untuk menghidupkan semula pertubuhan itu.

"Janganlah cuba mengambil peluang untuk meneruskan aktiviti yang telah ditegah oleh jawatankuasa fatwa dan juga undang-undang negara,'' katanya.

Wan Mohamad berkata, pentas dakwah begitu terbuka luas maka gunakanlah dengan sebaiknya untuk kebaikan umat Islam.

Tiada ulasan: