KUALA LUMPUR - Sejumlah 53 pesakit lagi disahkan positif H1N1 sehingga pukul 5.30 petang semalam, menjadikan jumlah terkumpul individu yang dijangkiti virus tersebut di seluruh negara ialah 14,307.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican memaklumkan, 10 laporan kluster penyakit seakan influenza (ILI) baru, turut dikesan di lapan negeri sehingga pukul 8 pagi ini dengan satu sampel disahkan positif H1N1 di Kelantan dan dua lagi di Johor.
Menurutnya, jumlah kes ILI yang masih dirawat di dalam wad di seluruh negara juga semakin berkurangan dari 674 kes semalam kepada 661 kes hari ini.
"Jumlah pesakit yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula masih kekal dengan 13 kes, sembilan daripadanya melibatkan individu yang mempunyai faktor risiko.
"Saya ingin mengingatkan bahawa jangkitan virus H1N1 amat mudah berlaku di tempat-tempat orang ramai berkumpul atau bersesak-sesak.
"Oleh itu, individu yang mempunyai gejala ILI perlu mengelakkan tempat-tempat tersebut dan sentiasa memakai penutup hidung dan mulut jika perlu ke tempat tumpuan umum," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau turut mengingatkan mereka yang mempunyai gejala ILI supaya segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di klinik atau hospital berhampiran kerana rawatan awal penting untuk mengelakkan komplikasi dan kematian.
Dalam pada itu, maklumat semasa Kementerian Kesihatan menunjukkan 10 kluster baru ILI melibatkan dua kluster di Kelantan dan Terengganu serta satu kluster masing-masing di Johor, Pahang, Sarawak, Negeri Sembilan, Melaka dan Pulau Pinang.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini H1N1 serta maklumat pusat kesihatan kerajaan yang menyediakan kemudahan vaksinasi boleh melayari laman web www.moh.gov.my atau h1n1.moh.gov.my.
Selain itu, mereka juga boleh menghubungi hotline Kementerian Kesihatan di talian 03-88810200 dan 03-88810300 setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 8 malam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan