Selasa, 18 Mei 2010

Indonesia minat melabur di Selangor


trav1_3sep09 Oleh Qayum Rahman


SHAH ALAM: Delegasi Indonesia berminat untuk melaburkan dalam industri perkilangan dan makanan halal di negeri selangor yang diyakini mampu memberi pulangan lumayan.

Ketua Delegasi dari Indonesia, Rahman Ismail berkata, negeri Selangor mampu memberi kesan positif dalam pelaburan dengan memberi pulangan yang tinggi berbanding pelaburan di tempat lain.

Menurutnya, Indonesia bersedia untuk melabur di Selangor dalam pelbagai sektor termasuk pelaburan dalam sistem bio-industri yang kian maju di serata dunia.

Rahman berkata, interaksi pelaburan bersama kerajaan Selangor membantu para usahawan Indonesia mengembangkan lagi perniagaan sedia ada ke arah kemajuan untuk mengukuhkan ekonomi masing-masing.

"Kami dari Indonesia tertarik mencari peluang pelaburan di Selangor kerana Selangor mempunyai masa depan yang cerah berbanding negeri-negeri lain di Malaysia melalui kemajuan dan sentiasa terkini.

"Banyak pelaburan dapat dihasilkan untuk membantu pertumbuhan ekonomi bersama di antara Indonesia dan negeri Selangor," katanya ketika perjumpaan rasmi bersama Penasihat Ekonomi Negeri Selangor Datuk Seri Anwar Ibrahim di pejabat SSIC Berhad, i-City Shah Alam hari ini.

"Indonesia percaya melakukan pelaburan di sini kerana pentadbiran kerajaan negeri Selangor sangat jujur dan ikhlas menjalinkan hubungan dua hala tanpa memikirkan kepentingan yang hanya tertumpu kepada satu individu," jelasnya.

Tambah beliau, delegasi yang hadir untuk melakukan pelaburan masih belum memutuskan berapa jumlah nilai dilaburkan dan akan menjelaskan perkara tersebut dalam masa terdekat kepada kerajaan Selangor.

Selangor berjaya tarik pelaburan asing

Anwar yang hadir sebagai penasihat ekonomi Selangor berkata, kerajaan negeri berjaya menarik pelabur asing melalui kerjasama yang baik contohnya dengan negara Filipina, China, Indonesia dan juga negara-negara lain.

Menurutnya, kerajaan negeri menyediakan pelbagai pelaburan yang menguntungkan kepada negara-negara luar untuk melabur di Selangor.

Contohnya melalui pelaburan dari Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, Perbadanan Permodalan Selangor Berhad, perkilangan dan pengangkutan yang mempunyai potensi besar untuk mengaut keuntungan.

"Dalam masa dua minggu lagi, pelabur dari China pula akan bertemu dengan kerajaan negeri untuk membincangkan mengenai peluang-peluang pelaburan," kata Anwar yang mempengerusikan majlis lawatan 50 anggota delegasi perniagaan dari Indonesia hari ini.

Statistik tahun lepas menunjukkan kerajaan negeri menerima jumlah pelaburan sebanyak RM6.76 bilion tahun ini Selangor menyasarkan keuntungan berlipat kali ganda berbanding yang lepas.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga melihat kecekapan pelabur indonesia dalam industri perkilangan untuk melabur di Selangor yang dapat mewujudkan banyak peluang perkerjaan kepada rakyat di negara ini terutamanya rakyat negeri Selangor.

Selain itu, Anwar berkata, delegasi Indonesia meminta kerajaan negeri menyertai pelaburan dalam bank-bank terkemuka Indonesia yang bakal dibuka.

"Kerajaan negeri akan melakukan perbincangan lebih lanjut dengan Indonesia mengenai kaedah pelaburan terbaik di antara kedua -dua belah pihak," jelasnya.

Antara yang hadir ialah Rahman Ismail Ketua Delegasi Indonesia, Rahman Ismail; Pengerusi Dewan Perniagaan Indonesia, Edi Kuntadi; Pemilik Bank Muamalat Indonesia, Saiful Amir; Pengurus Syarikat PerkapalanIndonesia, Andy Panca; Maxixie (Pengurus Syarikat Penyediaan Pekerja Indonesia, Maxixie dan Pengurus Syarikat MLS Trading terkemuka Indonesia, Sari Darmania Lintang.

Tiada ulasan: