Ahad, 2 Mei 2010

IKIM: Ekonomi negara perlu dipacu berlandaskan Islam



http://buletinonline.net/images/stories/berita25/logo-ikim.jpg Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menyarankan agar kerajaan memacu pembangunan dan ekonomi Negara berlandaskan pada ajaran agama dan di luar kerangka kapitalisme bagi menyelesaikan kemelut ekonomi semasa.

Ketua Pengarahnya, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan berkata, langkah ini penting kerana suasana ekonomi semasa sedikit memberangsangkan tetapi dilihat kemungkinan membimbangkan pada masa hadapan.
“Walaupun angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sedikit memberangsangkan tetapi dalam jangka masa panjang ia amat membimbangkan.


“Ini kerana angka pengangguran masih berada pada tahap tinggi, kos sara hidup meningkat, kadar hutang di kalangan negara semakin bertambah dan kadar kemiskinan masih berada di tahap tinggi,” katanya,

Nik Mustapha berkata, ini jelas menunjukkan pertumbuhan KDNK tidak mencerminkan kebajikan masyarakat meningkat tetapi ukuran itu yang menjadi penanda aras pertumbuhan ekonomi mula dipersoalkan terhadap kesan positif kepada kebajikan masyarakat.

Beliau berkata demikian dalam kertas kerjanya bertajuk “Atasi Kemelut Semasa Melalui Pembinaan Manusia” pada program Muzakarah “Pendekatan Islam Hadhari: Satu Tinjauan” di sini kelmarin.

Menurut Nik Mustapha, pengukuran pertumbuhan ekonomi sahaja tidak mampu menyelesaikan keperluan guna tenaga, penurunan kadar kemiskinan dan juga penurunan kos sara hidup.

“Pertumbuhan ekonomi semasa tidak semestinya dapat menjamin kebajikan hidup rakyat akan berjaya dicapai termasuk untuk menjana kemajuan ekonomi.

“Jika sesebuah masyarakat mahu mencapai kemajuan ekonomi serta kabajikannya, satu strategi penyusunan kehidupan yang menyeluruh perlu diberi perhatian oleh kerajaan.

“Ini bermakna tumpuan kepada perancangan pembangunan negara hendaklah dibuat secara menyeluruh dan perancangan ekonomi juga perlu menjadi sebahagian daripada dasar pembangunan masyarakat,” katanya.

Nik Mustapha berkata, dalam suasana sekarang satu pendekatan baru mengenai penyusunan dan perhubungan ekonomi perlu kembali kepada ajaran agama Islam.

“Sudah tiba masa kita kembali kepada ajaran agama, namun agak malang kerana pendekatan baru yang berunsurkan agama masih tidak dapat dilaksanakan di luar kerangka kapitalisme.

“Justeru itu, pendekatan mengikut kehendak agama Islam mesti berasaskan kepada falsafah tauhid.

“Di mana semangat keadilan serta memupuk muafakat dalam kalangan umat Islam untuk menyusun dan memajukan peradaban manusia termasuk aspek ekonomi perlu menjadi gagasan model baru dasar pembangunan sesebuah negara,” katanya.

Tambahnya, hanya melalui pendekatan agama kemelut ekonomi semasa dapat ditangani dengan memberi tumpuan penyelesaian kepada asas permasalahan itu.

“Jika kita cuba mencari penyelesaian ekonomi melalui dasar dan kewangan semata-mata, permasalahan ekonomi seperti kemiskinan, pengangguran dan kos sara hidup yang tinggi tidak akan berjaya dicapai.

“Oleh itu negara dan dunia masa kini memerlukan model pembangunan yang menepati segala keperluan bagi membina semula tamadun manusia,” katanya.
Beliau berkata, sistem pendidikan negara juga memerlukan tranformasi secara besar-besaran dengan memberi tumpuan untuk menentukan kecemerlangan pelajar.

“Untuk melakukan tranformasi ini, pentadbir sekolah perlu diberi garis panduan untuk menilai pelajar dalam pelbagai aspek termasuk aspek kepimpinan, kebolehan berkomunikasi serta kemampuan berfikir.


“Ini kerana jika tumpuan hanya diberikan kepada keputusan peperiksaan ia belum menjamin sistem pelajaran mampu menghasilkan bekalan tenaga kerja bermutu,” katanya.

Tambahya, dalam memacu ekonomi negara kerajaan memerlukan golongan pekerja yang boleh berfikir dan memahami situasi semasa.

“Tahap kreativiti dan inovasi pekerja memerlukan mereka bukan hanya menguasai ilmu secara teknikal dan mekanikal tetapi pada masa sama perlu menguasai kebolehan bekerja dalam keadaan sebenar,” katanya.- Malaysian Insider

Tiada ulasan: