Thursday, May 27, 2010

Hina dewan: Speaker S'gor nafi laporan media

Abdul Rahim Sabri



Speaker DUN Selangor, Teng Chang Khim hari ini menafikan laporan akhbar yang menyatakan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) memberi amaran kepada ahli parlimen Kapar, S Manikavasagam bahawa tindakan menghina dewan boleh diambil terhadapnya berkaitan tuduhan penyelewengan pasir.

Katanya perkara tersebut adalah tidak benar dan beliau menyifatkan tulisan itu mengelirukan.

Sebaliknya, kata beliau, pihaknya memberi peringatan bahawa ahli parlimen boleh dikenakan tindakan tersebut sekiranya beliau enggan menghadiri pendengaran awam Selcat berhubung perkara itu minggu depan.

Katanya, peringatan itu dibuat berdasarkan kepada enakmen menghina dewan, yang menyebut ia menjadi satu kesalahan jika enggan hadir pendengaran awam Selcat.

"Setiap saksi yang hendak dipanggil sebelum mana-mana pendengaran awam diadakan, termasuk oleh Selcat, adalah mengikut undang-undang tubuh negeri Selangor.

"Dalam sekseyen 5 (undang-undang tubuh negeri), sebarang perintah untuk hadir memerlukan arahan yang ditandatangani oleh setiausaha dewan atas arahan Speaker.

"Dengan menggunakan (peruntukan) kuasa itu, Mohamad Yasid Bidin (setiausaha DUN) telah mengeluarkan perintah ini," katanya dalam satu sidang media di pejabatnya hari ini untuk memperjelaskan perkara tersebut.

Teng berkata, pihaknya hanya memberi peringatan kepada saksi yang dipanggil bahawa menjadi satu kesalahan jika enggan hadir dan berdepan dengan hukuman penjara yang dilanjut sehingga 12 bulan atau denda RM5,000.

"Jadi tulisan ini mengelirukan... Selcat tidak ada kuasa untuk menjatuhkan hukuman.

"Kita beri perintah, kalau awak tak datang, ia menjadi satu kesalahan," katanya.

No comments: