SIBU — Masih terlalu awal untuk sambutan hari menuai, pesta Gawai Dayak diraikan, namun perkampungan terpencil masyarakat Iban Kampung Rantau Panjang dekat sini sudah meriah dan sibuk di sana sini.
Sambutan pesta Gawai hanya akan bermula dalam masa dua minggu lagi. Ketenangan perkampungan, yang terletak kira-kira 30 kilometer dari sini, terusik dengan keriuhan dan kesibukan bukan kerana hendak menyambut pesta Gawai Dayak tetapi berikutan tarikh pengundian pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu esok.
Suri rumah yang juga ibu kepada dua anak, Susah Luna, 28, berkata ramai tetamu berada di kampung itu sejak penamaan calon pada 8 Mei.
“Nampaknya sambutan pesta Gawai Dayak tahun ini diraikan lebih awal. Kampung ini meriah dengan poster-poster parti politik bertanding yang dipamerkan merata tempat,” katanya kepada Bernama.
Pada 1 Jun, masyarakat Dayak di Sarawak meraikan pesta Gawai iaitu hari menuai, satu manifestasi kesyukuran dan harapan untuk hasil tuaian padi yang lebih baik pada tahun-tahun mendatang, dengan pelbagai upacara tradisi.
Seorang lagi suri rumah, Melda Sirel yang berusia 44 tahun berkata para pemimpin politik, apatah lagi Menteri Persekutuan, jarang-jarang sekali menjejakkan kaki ke kampung ini.
“Kali ini ternyata berbeza. Ia menjadikan kami merasakan pesta Gawai Dayak seakan sudah semakin hampir,” katanya.
Ibu kepada tujuh anak, yang akan mengundi di Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang Ahad ini, berharap Anggota Parlimen Sibu yang baru akan membawa lebih banyak pembangunan fizikal di kampung itu.
“Saya akan bangun pagi untuk mengundi calon yang saya percaya akan dapat membawa lebih banyak pembangunan ke kampung ini,” katanya.
Di sebalik keghairahannya untuk mengundi, Melda berasa kecewa kerana anaknya yang bekerja di luar Sibu, terpaksa melepaskan peluang mengundi kali ini kerana dia telah melakukan perancangan untuk balik ke kampung bagi menyambut Gawai Dayak pada hujung bulan.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Sarawak, pengundi yang berada di luar daerah mewakili kira-kira 10 hingga 15 peratus daripada jumlah keseluruhan 54,695 pengundi berdaftar.
Kebanyakan mereka menghadapi kesulitan untuk pulang ke kampung masing-masing bagi menunaikan tanggungjawab mengundi mereka kerana tarikh pengundian sangat hampir dengan hari Gawai Dayak pada 1 Jun.
Calon DAP bagi pilihan raya kecil ini Wong Ho Leng percaya pengundi-pengundi di luar Sibu akan menjadi faktor penentu dalam pilihan raya kecil ini.
“Pengundi, khususnya pengundi muda yang bekerja di luar kawasan tidak boleh tidak mesti pulang pada Ahad ini. Mereka yang akan menentukan siapa akan menjadi Ahli Parlimen Sibu kali ini,” katanya.
Dalam pertandingan tiga penjuru kali ini, Wong akan berhadapan dengan calon Barisan Nasional’s (BN) Robert Lau Hui Yew, 45, dan Narawi Haron, calon bebas bagi pilihan raya kecil yang diadakan berikutan kematian Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Robert Lau Hoi Chew pada 9 April akibat barah hati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan