|
|
SIBU - Masyarakat Iban di Sungai Pasai dan Siong dekat sini merupakan antara mereka yang bertuah di negeri ini apabila kerajaan bersetuju untuk memajukan kira-kira 6,000 hektar tanah di kawasan mereka.
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan bersetuju dengan permintaan penduduk setempat agar tanah mereka dibangunkan oleh Felcra sebagai salah cara meningkatkan ekonomi penduduk setempat.
Perdana Menteri yang kini dalam rangka lawatan ke bandar ini bagi membantu calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu berkata, beliau telah meminta agar agensi itu mengambil tindakan yang sewajarnya.
"Kerajaan juga bersetuju untuk membaiki jalan di Pasai Siong dengan peruntukan RM34 juta yang akan dilaksanakan mulai tahun depan di dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh," katanya ketika melawat Rumah Panjang Sebastian Onggoh di Jalan Teku, Pasai, dekat sini, hari ini.
Najib berkata, kerajaan Pusat mempunyai pelan pembangunan yang menyeluruh untuk membangunkan masyarakat luar bandar yang masih ketinggalan, terutamanya di Sabah dan Sarawak, tidak terkecuali di Semenanjung.
"Kita akan peruntukkan sejumlah wang dan dana yang besar untuk pembangunan luar bandar, khususnya di negeri ini menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk membantu masyarakat luar bandar yang miskin," tambahnya.
Katanya, perancangan dibuat agar masyarakat luar bandar berpeluang mendapat kemudahan-kemudahan asas seperti bekalan air bersih, elektrik dan jalan raya, di samping mewujudkan aktiviti ekonomi untuk meningkatkan pendapatan mereka.
Perdana Menteri berkata, kerajaan BN tidak seperti pembangkang yang hanya pandai bercakap bohong seperti pembohongan terbesar yang mereka akan membentuk kerajaan pada 16 September lalu.
"Jangan biarkan mereka membohongi kita sekali lagi. Kita akui BN juga ada kelemahannya tapi kita tidaklah sampai melakukan pembohongan seperti ini," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata, penduduk Iban di negeri ini perlu menolak parti pembangkang yang langsung tidak mempunyai perasaan cintakan golongan etnik tersebut.
"Misalnya ketika Chin Peng, pemimpin parti komunis yang banyak membunuh pejuang Iban hendak pulang ke negara ini, pemimpin BN membantah sekeras-kerasnya tetapi tidak DAP," katanya.
Beliau berkata, itu menunjukkan parti DAP langsung tidak bersimpati dengan masyarakat Iban yang bersedih kerana penduduknya telah banyak terkorban dalam perjuangan menentang komunis suatu ketika dahulu.
Turut hadir pada majlis hari ini ialah beberapa pemimpin Kabinet Persekutuan dan negeri serta calon BN, Robert Lau Hui Yew yang disambut oleh kira-kira 1,000 penghuni rumah panjang di kawasan berkenaan yang diketuai Tuai Rumah, Sebastian Onggoh.
Onggoh dalam ucapannya meminta kerajaan membantu kira-kira 2,500 penduduk di kawasan itu dengan membangunkan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang terbiar, membaiki jalan, rumah dan juga gereja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan