Rabu, 5 Mei 2010

Dua wanita mengaku tidak bersalah jual bayi

BERNAMA

KLANG — Dua wanita menganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan memperdagangkan seorang bayi perempuan berusia sehari untuk tujuan eksploitasi pada Mei tahun lepas.

Lee Chew Ean, 57, dari Pulau Pinang dan Lim Hue Im, 49, dari Banting, didakwa menjual bayi yang dikenali sebagai Tan Lyn pada pukul 6.30 petang 24 Mei 2008 di rumah bernombor 97 Jalan Beringin 1, Taman Banting, Banting.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Aimi Syazwani Sarmin memohon Hakim Yong Zaridah Sazali supaya kedua-dua wanita itu masing-masing dikenakan ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Afifudin Hafifi, yang mewakili kedua-dua tertuduh itu, merayu supaya jumlah ikat jamin dikurangkan.

Katanya Lee, yang menghidap penyakit asma, darah tinggi dasn batu karang, mempunyai lima orang anak yang masih bersekolah manakala Lim mengalami sakit tulang belakang dan menanggung ibunya yang berusia 70 tahun.

Afifudin juga memohon supaya mahkamah mengguna pakai ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin yang dikenakan ke atas Lim dalam satu lagi kes sama sebelum ini.

Jumaat lepas, Lim didakwa mengikut akta yang sama kerana menjual seorang bayi lelaki Lau Zi Hao berumur dua hari di Farmasi Jenjarom, Taman Tanah Mas, Jenjarom, Banting pada pukul 2 petang, 21 Mac 2007.

Selepas mendengar rayuan, Yong Zarida membenarkan ikat jamin RM20,000 dan seorang penjamin ke atas Lim diguna pakai manakala Lee dikenakan ikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin.

Hakim juga mengarahkan kedua-dua tertuduh melaporkan diri di balai polis berdekatan pada hari pertama setiap bulan sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes itu ditetapkan pada 3 Jun ini.

Tiada ulasan: