KUALA LUMPUR : Mahkamah Sesyen hari ini memberi ganti rugi kepada dua bekas suspek kes culik dan bunuh Nurin Jazlin Jazimin kerana penahanan secara salah dan kecederaan semasa dalam lokap polis.
Mohamad Zamri Ibrahim, 36, peniaga kain, diberi ganti rugi berjumlah RM41,500 setelah Hakim Sabariah Othman mendapati polis menahannya secara salah dan tanpa alasan atau syak yang munasabah serta terdapat kekerasan semasa ditahan.
Manakala adik iparnya, Mohd. Suhaimi Yusoff, 31, pula diberi ganti rugi RM31,500 setelah mahkamah memutuskan bahawa terdapat bukti yang menunjukkan dia telah dicederakan secara tidak wajar.
Kedua-dua mereka sebelum ini menyaman pihak polis pada 19 Jun tahun lalu setelah mendakwa penahanan mereka dibuat tanpa alasan yang wajar dan munasabah sehingga menyebabkan mereka mengalami kecederaan, tekanan, hinaan dan malu yang amat sangat.
Terdahulu, Nurin yang berusia lapan tahun dilaporkan hilang pada 20 Ogos 2007 ketika keluar seorang diri ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju sebelum mayatnya dijumpai pada 17 September 2007 iaitu selepas 27 hari kehilangannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan