Rabu, 19 Mei 2010

Dr Pornthip Akan Bersidang Video Dari Thailand

Oleh Fazli Othman


SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor telah membuat persediaan untuk membantu pakar patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand memberi keterangan secara langsung dari Bangkok bagi perbicaraan inkues kes kematian mendiang Teoh Beng Hock kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam sidang media di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri tengahari tadi.

Khalid berkata kerajaan negeri telah membuat persediaan tersebut selepas mendapat kelulusan dari Kementerian Kehakiman Thailand yang membenarkan Dr Pornthip memberi keterangan melalui sidang video secara langsung.

"Pada Isnin lalu, peguam yang mewakili kerajaan negeri telah membuat permohonan kepada mahkamah koroner untuk mengadakan sidang video di Dewan Acara di I-City, Seksyen 7 Shah Alam esok.

"Mahkamah belum lagi memberi keputusan rasmi untuk membenarkan sidang video itu,' kata Khalid.

Tambahnya, mahkamah akan membuat keputusan setelah mendapat maklum balas dari Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi.

"Kami juga berharap pihak mahkamah dapat memberikan keputusan yang positif bagi kepentingan semua.

"Jika sidang video ini dapat diteruskan, bukan sahaja Dr Pornthip dapat memberikan keterangan, malah isu keselamatannya juga tidak perlu ditimbulkan lagi," ujar beliau.

Sebelum ini, media melaporkan Dr Pornthip keberatan datang ke Malaysia memberikan keterangan kerana mendakwa beliau menerima tekanan daripada pihak tertentu berhubung inkues bagi mengetahui punca kematian pembantu politik Teoh Beng Hock.

Tiada ulasan: