Oleh Rusnizam Mahat
KUALA LUMPUR - Sekumpulan aktivis kebebasan media hari ini berkumpul di hadapan pintu masuk ke bangunan Radio Televisyen Malaysia bagi membantah tindakan ke atas penerbit stesen milik kerajaan itu terbabit yang didakwa melanggar prinsip kebebasan kewartawanan dan penyiaran.
Kumpulan Media Bertindak 528, Pusat Kebebasan Media (CIJ) dan Gabungan Kebebasan Penulis Media (WAMI) membantah tindakan ke atas penerbit RTM, Chow Z Lam berhubung laporannya mengenai kesan terhadap penduduk Orang Asal dalam projek Empangan Bakun di Sarawak dan kontroversi projek Tenaga Nasional Berhad di Rawang.
Akibatnya, Chow Z Lam telah ditamatkan perkhidmatannya sehingga 13 Mei lalu kerana \menyiarkan dokumentari itu meskipun kontraknya hanya akan berakhir pada 2011.
Kira-kira 100 aktivis media terbabit berkumpul di hadapan pintu masuk menuju ke bangunan RTM sebagai tanda protes dan bagi menyerahkan memorandum bantahan mereka.
Bagaimana pun mereka hanya dibenarkan menyampaikan memorandum berkenaan kepada dua wakil RTM di hadapan pintu masuk tersebut setelah menunggu kira-kira setengah jam.
Sekumpulan anggota polis turut memantau keadaan, namun tidak ada sebarang tangkapan dilakukan.
Sebelum itu, dalam satu kenyataan media yang dibacakan penyelaras Kumpulan Media Bertindak 528, Ng Yap Hwa, kumpulan aktivis media itu mengecam tindakan RTM memecat Chow yang disifatkan bukan hanya mencabul hak kebebasan media di negara ini, tetapi juga menunjukkan kerajaan gagal memberi jaminan terhadap pemberi maklumat berkaitan rasuah dan salahguna kuasa.
"Menghentikan sebuah rencana hanya untuk melindungi pentadbiran ialah rasuah yang didefinisikan sebagai menyalahgunakan kuasa awam untuk kepentingan peribadi.
"Seorang wartawan yang dihukum kerana memberi maklumat ialah tamparan yang hebat kepada jaminan kerajaan pusat BN untuk melindungi pemberi maklumat dan kempen untuk membasmi rasuah," tegas beliau.
Menurut Yap Hwa, tindakan RTM itu jelas tidak menghormati hak rakyat Malaysia untuk mendapatkan maklumat mengenai projek Bakun dan TNB di Rawang yang telah menjejaskan kehidupan penduduk sekitar kawasan terbabit.
"Masyarakat mempunyai hak untuk mendapat maklumat mengenai isu melibatkan kepentingan nasional sebagai rakyat Malaysia. Wartawan pula mempunyai hak untuk bersikap profesional dan mengamalkan kebebasan media. Memecat Chow kerana pendedahan beliau adalah satu bentuk hukuman untuk wartawan yang melakukan kerja mereka," ujarnya lagi.
Menurut beliau lagi, RTM tidak membuat sebarang penjelasan mengenai tindakannya walaupun isu itu telah dipersoalkan oleh orang ramai dan dibangkitkan dalam media bebas di internet.
"Sikap tidak acuh ini jelas menunjukkan RTM cuba menjaga kepentingan kerajaan berbanding kepentingan awam yang telah membayar cukai penyiaran," ujarnya.
Justeru itu, Yap Hwa berkata, kumpulan itu menggesa RTM melakukan beberapa perkara supaya lebih profesional dan mengikut etika kewartawanan bebas.
Pertama, RTM harus menayangkan keseluruhan episod dokumentari Chow mengenai bantahan penduduk orang asal di Sarawak dan penduduk Rawang yang terjejas dengan projek Bakun dan TNB.
Kedua, RTM perlu patuh tanggungjawabnya kepada orang awam sebagai stesen penyiaran dengan menjalankan tugas secara profesional dan berasaskan etika kewartawanan.
Ketiga, menghentikan perkhidmatan Yap Shy Cuan, ahli MCA yang mengambil alih tugas Chow.
Keempat, menggesa campurtangan parlimen supaya RTM direformasikan sebagai sebuah stesen penyiaran awam yang lebih bertanggungjawab.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan