Oleh Frederick Luccas
KUALA LUMPUR - Speaker Dewan Negara hari ini menolak usul Senator Dr S Ramakrishnan untuk membahaskan insiden remaja berusia 14 tahun, Aminulrasyid Amzah yang ditembak mati polis pada 26 April lalu.
Tan Sri Abu Zahar Ujang menolak usul tersebut kerana isu tersebut masih dalam siasatan polis dan tidak perlu disegerakan.
Dr Ramakrishnan menyuarakan kekesalan terhadap keputusan Speaker kerana beliau berpendapat isu ini melibatkan kepentingan orang awam dan persepsi rakyat terhadap institusi polis secara keseluruhannya.
"Dewan perlu membincangkan isu ini kerana kini persepsi rakyat trerhadap pihak polis semakin buruk, ini perlu diselesaikan bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap polis. Saya merasakan Dewan telah melepaskan satu peluang yang baik untuk membersihkan nama polis dan kerajaan," kata Dr Ramakrishnan kepada Suara Keadilan di Parlimen hari ini.
Beliau berkata usul ini adalah penting kerana selain polis ia juga melibatkan agensi kerajaan yang lain seperti Kementerian Dalam Negeri.
Beliau juga mengemukakan usul supaya satu suruhanjaya untuk menyiasat kebersediaan institusi kepolisan secara keseluruhannya dalam menangani isu zaman sekarang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan