Selasa, 4 Mei 2010

Chua Jui Meng : Pengundi Cina di Sibu Mirip Kepada Pakatan Rakyat

TV SELANGOR

Naib Presiden MCA, Datuk Chua Jui Meng berkeyakinan tinggi Pakatan Rakyat berpotensi merampas kerusi Parlimen Sibu berikutan masyarakat Cina Sibu dijangka menyebelahi gagasan itu pada pilihan raya kecil Parlimen itu berdasarkan trend semasa.

Sentimen ini ditunjukkan 78 peratus pengundi Cina yang menyokong Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor baru-baru ini.

Jika ramalan ini tepat, Pakatan Rakyat akan menambah satu lagi kerusi Parlimen di Sarawak melalui calon mereka dari DAP.

Untuk rekod, pengundi Cina untuk pilihan raya kecil Sibu pada 16 Mei ialah 36,389 atau 66.7% dari keseluruhan 54, 695 pemilih daftar yang terkini.

“ Pengundi Tiong Hua saya nampak di Sibu ada persamaan dengan orang Tiong Hua di sini. Sama ada ia akan memberi sokongan sebanyak 78 peratus, itu belum dapat dipastikan lagi tetapi boleh dikatakan orang Tiong Hua sudah mirip kepada kita” ujar beliau kepada Tv Selangor.

Menyifatkan Pakatan Rakyat sebagai parti masa depan untuk penduduk Sibu, Jui Meng yakin masyarakat Cina di Sibu pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk menikmati kehidupan yang lebih bermakna berbanding ketika pemerintahan Barisan Nasional.

“ Apa yang mustahak ialah orang Tiong Hua sudah pasti mereka undi untuk masa depan. Oleh sebab itu ia akan menyokong Pakatan Rakyat” tambah beliau lagi.

Apatah lagi, Jui Meng yang kini berjuang melalui Parti Keadilan Rakyat, percaya bahang reformasi sudah lama meresap ke dalam jiwa masyarakat di Bumi Kenyalang itu.

Sekaligus, katanya, keinginan untuk menggapai perubahan dalam jiwa masyarakat Cina kian ketara dan bakal diterjemahkan pada pilihanraya kecil P212 Sibu kelak.

Lebih-lebih lagi, pengakuan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek mengenai sabotaj pemimpin mahupun penyokong MCA yang tidak mustahil bakal berulang pada pilhan raya Sibu.

“ Saya diberitahu trend yang cenderung kepada Pakatan Rakyat ada juga di Sarawak di kalangan orang Tiong Hua. Itu harapan kita lah. PKR akan menyumbang sebanyak yang kita boleh”.

Tiada ulasan: