Rabu, 5 Mei 2010

Bicara liwat tak halang Anwar kempen di Sibu

Hafiz Yatim


Meskipun sibuk dengan perbicaraan kes liwatnya yang akan bersambung sepanjang minggu depan, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berikrar akan tetap berkempen pada pilihan raya kecil Sibu bagi menjamin kemenangan DAP.

Setiausaha agung PKR, Saifuddin Nasution, yang dihubungi Malaysiakini, mengesahkan bahawa Anwar akan berada di Sibu untuk selama tiga daripada lapan hari berkempen itu.

Oleh kerana terpaksa menghadiri perbicaraan kes liwatnya, kehadiran Anwar hanya terhad pada hujung minggu sahaja.

Saifuddin, yang juga ahli parlimen Machang berkata Anwar akan berada di Sibu bermula Sabtu hingga Ahad ini untuk bersama khususnya kertika hari penamaan calon.

Ketua umum PKR itu juga akan sekali lagi ke Sibu semula pada Jumaat depan bagi menggulung kempen Pakatan Rakyat sebelum hari mengundi pada Ahad, 16 Mei nanti.

“Kami telah sediakan program yang rapi untuknya, termasuk lawatan ke pasar, ceramah, bermesra dengan rakyat dan sebagainya,” kata Saifuddin.

“Walaupun Anwar akan terikat pada hari bekerja dengan perbicaraanya, beliau tetap mahu memainkan peranannya dan membantu pembangkang di Sibu.

“Pemimpin PKR yang lain seperti Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan pakar strategi parti, Tian Chua akan juga membantu kempen di sana.”

Semalam, panel tiga anggota Mahkamah Persekutuan sebulat suara menolak permohonan Anwar untuk mengetepikan dakwaan liwat kedua yang dikenakan ke atasnya.

Mereka tidak menerima pendapat pihak pembelaan bahawa tuduhan dan pendakwaan terhadap Anwar perlu diketepikan berdasarkan laporan perubatan bahawa tiada sebarang tanda penetrasi atau tembusan ke dubur atau rektum Mohd Saiful.

Dengan keputusan itu perbicaraan akan diteruskan pada Isnin ini kerana Anwar tidak ada lagi peluang bagi merayu kerana sebelum ini mahkamah telah dua kali menolak permohonananya.

P
erbicaraan Isnin ini akan bersambung dengan soal balas ke atas pengadu kes berkenaan, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anwar, 62, didakwa melakukan kesalahan itu di kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara pada 26 Jun, 2008.

Pada pilihan raya kecil Sibu ini, Pakatan Rakyat akan diwakili oleh DAP yang menamakan ketua parti itu di Sarawak, Wong Ho Leng, yang juga ahli dewan undangan negeri, Bukit Assek untuk berdepan dengan BN yang memilih Robert Lau Hui Yew dari SUPP.

Tiada ulasan: