Jumaat, 14 Mei 2010

Bagi Wang, PM Minta Pengundi Cina Balas Budi BN

TV SELANGOR

Pakatan Rakyat meminta Perdana Menteri Najib Abdul Razak dan calon BN, Robert Lau Hui Yew memberi jaminan bahawa sumbangan RM18 juta ringgit kepada persatuan sekolah Cina menjadi suntikan wajib setiap tahun, dan bukan sekadar sogokan pilihanraya semata-mata.

Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata Pakatan Rakyat menyambut baik sumbangan RM18 juta ringgit ini demi pembangunan pendidikan anak-anak termiskin di Sibu, namun mendesak BN lebih ikhlas dan memberi jaminan bahawa bantuan pendidikan ini bukan satu lagi kebiasaan pilihanraya.

Perdana Menteri Najib Abdul Razak semalam menyerahkan peruntukan RM10 juta ringgit kepada 60 Sekolah Cina jenis Kebangsaan, RM5 juta ringgit kepada lima sekolah swasta Cina, RM2 juta ringgit kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Sacred Heart dan RM1 juta ringgit kepada Sekolah Kebangsaan St. Mary.

"Peruntukan kerajaan untuk sekolah-sekolah sewajarnya di institusikan dan bukan dibuat seolah-olah sumbangan peribadi, tanpa mengira di kala pilihanraya atau bukan," tegas Kit Siang.

Pakatan Rakyat juga berkata bantuan seperti ini seharusnya dilanjutkan meliputi semua sekolah tanpa mengira aliran.

"Peruntukan kerajaan untuk sekolah adalah harus untuk semua aliran pendidikan kerana ia sebahagian dari hak warganegara, dan bukannya seperti hadiah dari kerajaan, kerana duit kerajaan adalah dari wang pembayar cukai," jelas Kit Siang.

Dengan sumbangan ini, Najib meminta masyarakat Cina untuk membalas budinya dan mengundi calon BN.

Tiada ulasan: