ANALISIS — Ketika tiba di tingkat satu bangunan ibu pejabat MIC pagi tadi seorang pegawai kanan salah seorang anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC memberitahu nampaknya “suasana agak panas”. Ada yang menghentam meja. Ia juga mungkin disebabkan suasana berkongsi kegembiraan.
Rupa-rupanya perjalanan mesyuarat CWC agak luar biasa!
Sebagaimana dijangkakan dan dilaporkan The Malaysian Insider, mesyuarat CWC MIC berlangsung dalam suasana agak luar biasa pagi tadi.
Malah, suasana luar biasa ini juga digambarkan oleh beberapa anggota CWC.
Berdasarkan hasil pertemuan hari ini beberapa pemimpin MIC mengandaikan Samy Vellu sudah mula berhadapan dengan cabaran-cabaran dalam mempengerusikan mesyuarat CWC kali ini. CWC terdiri daripada 35 anggota.
Samy Vellu mengetuai MIC sejak 1979. Daripada 35 anggota hanya empat wakil merupakan mereka yang dipilih bukan daripada kalangan calon direstui Samy Vellu.
Sekitar 10 orang lagi dipercayai anggota yang bersimpati dengan Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel.
Mengambil kira pengalaman dan kekuatan yang ada di CWC memang agak awal untuk membuat andaian sedemikian. Tetapi ada yang turut beranggapan ini sebagai satu permulaan khususnya selepas pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor.
Sekurang-kurangnya mesyuarat dua jam pagi ini agar luar biasa berbanding dengan pertemuan Mac lalu, yang diadakan sebelum pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor. Pertemuan bulan lalu ditangguhkan tetapi MIC telah mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan isu calon mewakili MIC untuk diturunkan dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor.
“Apa yang mengejutkan suasana perjalanan mesyuarat sudah berubah secara ketara... jelas dihujani dengan hujah-hujah yang agak panas,” kata seorang pemimpin kanan parti kepada The Malaysian Insider.
Anak Samy Vellu, Vell Paari ketika dihubungi The Malaysian Insider bersetuju bahawa “pertemuan hari ini sesuatu hangat (panas).”
“Berdasarkan pengalaman saya, memandangkan saya juga pernah dijemput menghadiri mesyuarat CWC masa-masa lalu, mesyuarat hari ini sesuatu yang agak panas, tetapi saya melihat ia sebagai satu proses penghujahan yang konstruktif.
“Pada akhir mesyuarat semua orang gelak ketawa. Tetapi malangnya ada pihak yang membocorkan hasil perbincangan kepada umum (media),” kata beliau.
Marah tapi terkawal
Sumber memberitahu walaupun ada insiden Samy Vellu kelihatan marah tetapi beliau cuba mengawal keadaan.
Mungkin itu sebabnya apabila dianjukan soalan susulan pada sidang media Samy Vellu enggan menjawab melainkan hanya berkata: “Tiada komen.” Memperlihatkan kelainan Samy Vellu sekurang-kurangnya mengatakan “tiada komen” sebanyak lima kali.
Ada yang berpandangan Samy Vellu mahu menjawab sesuatu tetapi cuba bertahan daripada mengeluarkan reaksinya.
Dalam kenyataan bertulis yang telah disediakan, Samy Vellu menyentuh isu pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor, laporan penilaian dan kemajuan di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri disandang oleh wakil MIC, kegagalan pelajar masyarakat India mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam untuk mengikuti kursus matrikulasi dan persiapan menghadapi Perhimpunan Agung MIC Ke-64.
“Ini jauh berbeza dengan masa-masa lalu. Anggota CWC, walaupun tidak ramai yang terlibat, tetapi mereka mula menimbulkan isu dengan lantang,” kata seorang pemimpin CWC.
“Malah mereka kelihatan lebih berani mengemukakan. Mereka tidak beri presiden muka,” kata seorang anggota yang tidak mahu mengatakan.
Menurut pegawai kanan itu mereka menimbulkan pertanyaan satu isu demi isu satu membabitkan sejumlah isu.
Sumber mengatakan beberapa pemimpin seperti lazim cuba mempertahankan Samy Vellu apabila diserang dengan soalan-soalan. Tetapi jumlah mereka yang berusaha membantu Samy Vellu kali ini tidak begitu ramai berbanding dulu.
The Malaysian Insider difahamkan beberapa anggota CWC menuntut jawapan daripada Samy Vellu mengenai kemudahan yang diperoleh MIC daripada kewujudan syarikat-syarikat dikaitkan dengan kerajaan (GLC).
Samy Vellu enggan memberikan butiran lanjut atas alasan beliau dan Naib Presiden Datuk Dr. S. Subramaniam. Sebaliknya, meminta anggota CWC menulis surat untuk mendapatkan jawapan kemudian.
Bagaimana dana MIED sebanyak RM35 juta dimiliki oleh syarikat milik seorang anggota CWC.
Pada masa lalu ramai yang akan menyokong beliau jika Presiden diserang.
Salah seorang anggota CWC K.P. Samy mengakui beliau ada mengemukakan soalan berkaitan dengan penggunaan dana RM3.5 juta milik Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) oleh sebuah syarikat milik Ketua Pemuda MIC T. Mohan dan bekas ketua pegawai eksekutif P. Chitirakala. Chitirakala mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan menipu dengan menggunakan tiga keping cek bernilai RM4 juta ketika dihadapkan di mahkamah kelmarin.
Ketika Samy mengemukakan soalan mengenainya kepada Samy Vellu Mohan menjawab bahawa beliau akan memberikan penjelasan. Di satu peringkat Mohan menyifatkan Samy “sebagai kebudak-budakan” sehingga mencetuskan pertikaman lidah dengan Samy Vellu meminta kedua-dua mereka menyelesaikannya.
Undang-undang
Samy bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Mohan kerana menggunakan istilah “kebudak-budakkan”.
Seorang anggota CWC S. Ananthan dari Kedah membawa usul yang mengesyorkan agar Samy Vellu kekal sebagai Presiden MIC sehingga 2012. Bagaimanapun Samy Vellu dikatakan telah meminta agar tidak meneruskan usul sedemikian.
“Sebenarnya Datuk Seri telah meminta agar perkara itu tidak dibawa kerana bimbang akan ada tuduhan bahawa beliau yang meminta dia membawanya, beliau tidak mahu ada salah faham... itu yang berlaku.
“Ini penting kerana ada pihak yang mengatakan Datuk Seri (Samy) akan berhenti minggu ini, bulan ini dan sebagainya... jadi beliau tidak mahu tanggapan sedemikian... itu yang berlaku,” kata Vell Paari lagi.
Vell Paari mendakwa Samy Vellu tidak kehakisan genggaman menguasai perjalanan mesyuarat hari ini, tetapi “Samy (K.P. Samy) datang dengan agenda tetapi pulang dengan kecewa.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan