KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 11 Jun depan untuk memutuskan sama ada peguam Karpal Singh perlu membela diri atau tidak di atas pertuduhan mengeluarkan perkataan berunsur hasutan terhadap Sultan Perak pada sidang akhbar di pejabatnya bertarikh 6 Feb tahun lepas.
Hakim Azman Abdullah menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah Timbalan Pendakwa Raya Noreen Badaruddin dan peguam Jagdeep Singh Deo.
Noreen berkata pendakwaan telah berjaya membuktikan terdapat kes prima facie terhadap Karpal Singh dan peguam memang ada menyebut kata-kata tersebut yang berkecenderungan ke arah hasutan dan yang bersifat hasutan sepertimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 3(1) Akta Hasutan 1948, pada sidang akhbar di pejabatnya.
Beliau berkata Karpal Singh dengan lantangnya telah mempersoalkan tindakan Sultan Perak melantik Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang baru.
"Tertuduh seolah-oleh mencabar Sultan Perak dan tindakan beliau tersebut boleh mengakibatkan perpaduan kaum terjejas terutamanya perpaduan kaum Melayu di Perak," katanya.
Beliau berkata walaupun Perlembagaan Persekutuan peruntukan bahawa Sultan boleh dibawa ke mahkamah tetapi tindakan Karpal masih boleh dianggap sebagai menghina Sultan.
"Tertuduh perlulah lebih berhati-hati untuk memastikan bahawa segala yang iungkapkan tidak akan mempunyai kecenderungan menghasut seperti mana yang didefinisikan di bawah Seksyen 3(1) Akta Hasutan 1948," katanya.
Seramai 19 saksi memberi keterangan pada perbicaraan kes itu termasuk Timbalan Pengarah Berita TV RTM Roslan Ariffin dan wartawan Utusan Malaysia Nizam Mohd Yatim.
Pada 17 Mac tahun lepas, Karpal Singh minta dibicarakan terhadap pertuduhan mengeluarkan perkataan berunsur hasutan terhadap Sultan Perak pada sidang akhbar di pejabatnya Tetuan Karpal Singh & Co, Jalan Pudu Lama, di sini antara pukul 12 tengah hari dan 12.30 petang, 6 Feb lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan menghadapi hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sementara itu, peguam Jagdeep Singh Deo berhujah pendakwaan gagal membuktikan intipati pendakwaan atau membuktikan kes prima facie terhadap Karpal.
"Pertuduhan terhadap tertuduh (Karpal) tidak boleh dipertahankan dan oleh itu dia patut dibebaskan tanpa dipanggil membela diri," katanya.
Beliau berkata kandungan sebenar sidang akhbar yang dibuat Karpal Singh dan ulasannya dalam sesi soal jawab itu telah membuktikan bahawa kenyataannya tertakluk di bawah pengecualian mengikut Seksyen 3(2)(a) Akta Hasutan.
Jagdeep Singh Deo berhujah bahawa fakta yang tidak boleh dipertikaikan ialah kenyataan Karpal Singh tidak dilaporkan sepenuhnya dan hanya sebahagian sahaja dilaporkan menerusi media cetak dan elektronik serta portal berita.
Beliau berkata Karpal Singh hanya memberikan pendapat undang-undangnya selain menunjukkan kesilapan Sultan Perak yang merujuk sebanyak empat kali kepada Perkara 64 Perlembagaan negeri itu di mana baginda boleh merujuk kepada Mahkamah Persekutuan untuk menyelesaikan krisis politik pada masa itu.
Sementara itu, Karpal Singh ketika berhujah berkata keputusan mahkamah dalam kes tersebut mempunyai kesan meluas dan meminta hakim yang mendengar perbicaraan kes itu perlu bertindak tanpa rasa takut atau berat sebelah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan