Sunday, August 2, 2009

Pelajar bantah program Umno di UKM

Jimadie Shah Othman


Penganjuran sebuah forum anjuran Umno Serdang di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapat bantahan sekumpulan pelajarnya kerana didakwa cuba melibatkan pelajar dalam aktiviti politik kepartian.

Bantahan tersebut disuarakan Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) yang mendakwa forum yang berjudul “Mengangkat Martabat Bangsa” itu bersifat politik.

Pengerusinya, Hisyamudin Che Ali berkata, penggunaan “dewan yang mulia”, Dewan Canselor Tun Abdul Razak oleh sebuah pertubuhan politik itu, mencetuskan tanya tanya.

Program yang terbuka kepada orang ramai itu dijadual bermula jam 8 pagi sehingga 2 petang esok.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Naib Canselor Uniterveriti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Datuk Seri Prof Dr Ibrahim Abu Samah dijadual menyampaikan syarahan mereka, disusuli sesi soal-jawab bersama peserta.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Hisyamudin berkata, berdasarkan poster dan risalah yang ditampal dan diedakan kepada pelajar, program itu adalah anjuran bersama Kelab Aspirasi UKM - yang pro-kerajaan.

“Perkara ini bertentangan dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU),” dakwa Hisyamudin.

Nafi babit pelajar

Sementara itu, Umno Serdang ketika dihubungi mengesahkan pihak menganjurkan program tersebut tetapi menafikan ia melibatkan pelajar universiti berkenaan.

“Tidak ada kerjasama dengan sesiapa. Ini anjuran kita sendiri,” kata setiausaha kerjanya Abd Halim Musa.

Sehubungan itu, beliau mendakwa kemungkian ada pihak yang mengedarkan poster dan risalah palsu yang mengaitkan aktiviti Umno dengan persatuan pelajar di UKM.

“Kalau ada bukti yang sahih nanti, kita akan ambil tindakan dan laporkan kepada pihak polis,” katanya.

Beliau bagaimanapun berpendapat, penganjuran program itu tidak bertentangan dengan AUKU kerana pihaknya hanya menyewa dewan tersebut mengikut prosedur yang betul dan membayar sewanya kepada universiti.

Sementara itu, penasihat Kelab Aspirasi UKM Sarfarizmal Md Saad, ketika dihubungi, turut menafi kelabnya terlibat dalam program tersebut.

“Ia fitnah. Program itu tidak ada kena mengena dengan kita. Saya tidak hendak tuduh mana-mana pihak, tetapi poster itu saya lihat memang ada,” katanya.

No comments: