UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak bersedia menjadi orang tengah bagi menyelesaikan pergolakan dalaman MCA ekoran pemecatan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, jika diminta kepemimpinan parti itu.
“Kita tidak boleh campur tangan secara langsung dalam urusan parti komponen Barisan Nasional (BN) melainkan kita diundang untuk menjadi orang tengah,” katanya.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, berkata beliau sudah diberi taklimat oleh Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat serta dua Naib Presiden, Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai dan Datuk Dr Ng Yen Yen, mengenai keputusan memecat Dr Chua.
“Saya berharap MCA dapat menyelesaikan masalah itu segera demi kebaikan BN. Kita perlu tangani perkara ini supaya kesannya tidak mendatangkan mudarat kepada BN kerana lagi cepat mereka selesaikan masalah ini, lebih baik untuk BN," katanya selepas mendengar taklimat Yayasan Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) di sini, semalam.
Kelmarin, Ong berkata, Majlis Presiden MCA mengambil keputusan menerima syor Jawatankuasa Disiplin untuk memecat Dr Chua berkuat kuasa serta merta kerana skandal seksnya pada 2007 membawa imej buruk kepada parti.
Pemecatan Dr Chua itu dijangka memburukkan lagi pergolakan dalaman yang melanda MCA sejak pemilihan parti Oktober tahun lalu.
Ditanya mengenai kesan sokongan masyarakat Cina terhadap BN berikutan pemecatan Dr Chua, Najib yakin MCA mampu untuk mengukuhkan kedudukannya di kalangan kaum itu.
“Apa yang kita mahukan hanyalah satu MCA yang kuat dan penuh dengan aspirasi untuk masyarakat Cina,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, BN belum memutuskan status kedudukan Dr Chua selaku Ketua Penyelaras Barisan Nasional (BN) di negeri yang dikuasai pembangkang.
“Kita belum membuat sebarang keputusan... perkara itu akan diputuskan kemudian,” katanya.
No comments:
Post a Comment