Oleh Mohd Hamizar Hamid, Adha Ghazali dan Khairunnisa Kamarudin
PUTRAJAYA: Gula tidak lagi boleh dibawa keluar dari negara ini melalui jalan darat, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Sehubungan itu katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana penduduk Perlis, Kelantan, Pulau Pinang, Kedah dan Sabah yang didapati menyeludup gula ke negara jiran dan ia perlu bagi mengatasi masalah kekurangan gula yang melanda semua negeri berkenaan sejak 15 Julai lalu.
"Walaupun gula yang dibawa keluar sekilogram, mereka akan ditahan dan dikenakan hukuman mengikut undang-undang Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP)," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.
Beliau sebelum itu mengadakan pertemuan dengan wakil persatuan pengilang gula, Kastam Diraja Malaysia, UPP dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) bagi membincangkan masalah kekurangan gula di negeri berkenaan.
Pada pertemuan itu, katanya wakil persatuan pengilang gula menyatakan persetujuan supaya kerajaan menguatkuasakan larangan mengeksport gula ke negara jiran iaitu Thailand, Indonesia dan Filipina menggunakan jalan darat.
Ismail Sabri berkata, penyeludupan berlaku berikutan gula dapat dijual pada harga lebih tinggi iaitu RM2.62 hingga RM2.79 sekilogram di Indonesia, Thailand (RM2.31) dan Filipina (RM2.85).
Untuk tujuan itu, KDRM dan UPP akan mempertingkatkan kawalan di sempadan bagi memastikan gula subsidi yang sepatutnya dinikmati rakyat negara ini tidak diseludup keluar, katanya.
"Kita tidak boleh membiarkan tindakan itu (seludup)... walaupun hanya sekilo (gram) dua kerana kerajaan memberi subsidi untuk dinikmati rakyat negara ini saja," katanya.
Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM720 juta untuk subsidi gula sepanjang tahun ini.
Berhubung kekurangan gula di Selangor akibat peningkatan permintaan di kalangan industri kecil sederhana menjelang bulan perayaan, Ismail Sabri berkata, pengilang gula bersetuju menambah bekalan.
"Sejak dua minggu lalu, kami menerima 22 aduan berhubung masalah kekurangan gula dan daripada jumlah itu 14 sudah diselesaikan," katanya sambil memberi jaminan harga gula tidak akan dinaikkan tahun ini.
"Mana-mana peniaga yang berhasrat menyorokkan gula untuk mengaut keuntungan lebih, lupakan saja hasrat itu," katanya.
Sementara itu di Perlis, antara negeri pengeluar utama gula, kekurangan bahan itu semakin berlarutan sejak akhir-akhir dan bekalan mula susut pada minggu kedua Julai lalu, menyebabkan pemborong sukar memenuhi permintaan peruncit.
No comments:
Post a Comment