BERITA HARIAN ONLINE
PUTRAJAYA: Seorang remaja peminat sukan lasak, Zahra Masoumah Abdul Halim, bakal membawa cabaran negara sebagai wanita Islam pertama berenang menyeberangi Selat Inggeris pada Julai ini.
Zahra Masoumah, 18, yang berasal dari Ipoh, Perak, dijangka bertolak ke Dover, United Kingdom, pada 27 Mei ini untuk menjalani latihan dan penilaian termasuk terpaksa berenang dalam air yang bersuhu sekitar 16 darjah celsius untuk tempoh enam jam bagi membiasakan diri dengan persekitaran air di selat itu.
Anak sulung daripada lima beradik itu dijangka menempuh cabaran sebenar pada 2 hingga 6 Julai ini bagi jarak antara 34 hingga 37 kilometer dalam arus sejuk antara 14 hingga 18 darjah celsius.
Katanya, pada masa ini, beliau berlatih berenang di Lumut, Perak seminggu sekali yang membabitkan jarak renangan 20 kilometer bagi satu sesi.
Zahra Masoumah berkata, keinginan untuk merentas Selat Inggeris muncul pada 2006 apabila dia dimaklumkan oleh jurulatihnya, Arof Osman, bahawa semua perenang dunia bercita-cita untuk merentasnya.
"Ketika itu saya berjaya merentas Selat Dinding, Lumut. Sejak itu saya berazam untuk merentas Selat Inggeris dan akhirnya dapat peluang ini," katanya.
Bagaimanapun katanya, beliau belum dapat membayangkan cabaran berenang di laut sejuk seperti Selat Inggeris tetapi sedia menghadapinya.
"Saya harap latihan (di laut sejuk) hampir sebulan mulai Jun ini akan dapat membantu kerana sebelum ini saya berlatih untuk membina kekuatan fizikal dari segi jarak dan mengenal pasti arus.
"Saya akan cuba melepasi had kelayakan ditetapkan iaitu berenang di laut sejuk lebih daripada enam jam dalam latihan nanti," katanya yang akan mendaftar dalam bidang Sains Sukan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) lewat bulan depan.
Selain Selat Dinding, Zahra Masoumah pernah merentasi Selat Melaka iaitu dari Langkawi ke Kuala Perlis pada 2007 dan merancang berenang merentas selat sama dari Sumatera ke Port Dickson bulan depan dalam siri latihannya.
Mengenai minatnya untuk berenang, Zahra Masoumah berkata, ia bermula secara kebetulan apabila dia hampir lemas ketika memberi makan ikan di Tasik Chenderoh ketika berusia empat tahun.
"Ketika itu, saya leka beri ikan makan dari atas titi dan secara tiba-tiba tergelincir. Nasib baik ayah selamatkan saya dan bermula dari situ ayah melatih kami adik-beradik berenang," katanya.
Zahra Masoumah adalah anak pasangan Abdul Halim Abd Manaf, 49, pensyarah UiTM dan Haniza Mohamed, Pensyarah Politeknik Ungku Omar, Ipoh.
No comments:
Post a Comment