Tuesday, May 19, 2009

Syarat RM20 buka akaun SSPN mansuh

Oleh SITI MAISARAH SHEIKH ABDUL RAHIM


PUTRAJAYA - Syarat wajib membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebanyak RM20 tidak lagi dilaksanakan kepada pemohon Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tahun ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu bagi membolehkan semua pelajar layak memohon pinjaman itu sekali gus meringankan beban mereka untuk menyambung pelajaran.

''Kita tidak mahu lagi mengaitkan simpanan RM20 dalam SSPN tentang soal bagi melayakkan seseorang pelajar untuk mendapatkan pinjaman.

''Bagaimanapun itu tidak bermakna kita tidak menggalakkan penabungan kerana ia sebagai langkah berjaga-jaga jika sesuatu berlaku di luar jangkaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2008 kepada pegawai kementerian itu di sini hari ini.

Seramai 909 pegawai dipilih sebagai penerima anugerah termasuk pegawai di peringkat politeknik dan kolej komuniti.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, syarat kelayakan pemohon berdasarkan pendapatan keluarga juga sedang dikaji secara lebih mendalam dengan mempelbagaikan kategori kelayakan mengikut syarat yang sewajarnya.

''Perkara ini kita sedang lakukan kajian mengenai syarat mereka yang sewajarnya diberi pinjaman selari dengan usaha kita untuk mengkaji kelestarian pinjaman PTPTN," katanya.

Ruangan Forum Utusan Malaysia hari ini menyarankan supaya pemberian wang PTPTN berdasarkan pendapatan bapa bagi melayakkan pemohon mendapat pinjaman penuh, separuh atau sekadar membayar yuran, dikaji semula dengan mengambil kira tanggungan sebenar.

Sebelum ini sebagai contoh, PTPTN menetapkan kriteria pemohon yang bapanya berpendapatan RM5,000 atau lebih sebulan hanya layak memperoleh bantuan PTPTN sekadar untuk membayar yuran.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, seramai 803 Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi dinaikkan pangkat yang dilaksanakan kali pertama melalui Skim Perkhidmatan Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi (PPPT) yang diwujudkan tahun lalu.

''Skim ini diwujudkan bagi memberi peluang kenaikan pangkat dan kemajuan kerjaya yang lebih baik kepada pensyarah-pensyarah politeknik dan kolej komuniti.

''Kelulusan kenaikan pangkat ini menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam menjaga kebajikan anggota perkhidmatan awam," katanya.

Skim PPPT diwujudkan kepada pensyarah-pensyarah politeknik dan kolej komuniti yang sebelum ini diletakkan di bawah Skim Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) dan Skim Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Diploma (PPPLD).

No comments: