Oleh ARIFFUDDIN ISHAK
PETALING JAYA: Pengerusi Badan Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan, Datuk Kamarul Baharin Abbas menafikan dakwaan sekurang-kurang dua wakil rakyat dari parti itu membayangkan untuk meletakkan jawatan.
Beliau berkata dakwaan sedemikian tidak berasas dan hanya beranggapan perkara tersebut sebagai sesuatu yang melucukan.
"Tak ada, tak ada...ini semua lucu bagi saya. Apa asasnya? Mereka semua bekerja seperti biasa dan tak ada masalah," katanya kepada mStar Online.
Media hari ini melaporkan kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mendakwa Barisan Nasional (BN) negeri mempunyai maklumat ada wakil rakyat pembangkang merancang pelbagai alasan untuk meletak jawatan kerana sudah tidak berupaya untuk berkhidmat kepada rakyat.
Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari PKR yang disebut-sebut itu ialah ADUN Sikamat, Aminuddin Harun dan ADUN Ampangan, Rashid Latiff.
Bagaimanapun Kamarul berkata beliau tidak faham motif Menteri Besar membuat kenyataan sedemikian kerana situasi yang dimaksudkan tidak wujud sama sekali.
"Saya tak tahu kenapa beliau beri kenyataan macam itu, setakat ini semua wakil rakyat kita jalankan tugas seperti biasa.
"Dua-duanya kerja bagus, ADUN Ampangan (Rashid) mungkin ada masalah sikit sebab dia baru buat pembedahan jantung...dia tak begitu sihatlah.
"Tapi Aminuddin...dia kerja keras," katanya.
Ditanya sama ada PKR negeri akan mengambil sebarang tindakan terhadap kenyataan Menteri Besar itu, Kamarul berkata buat masa ini pihaknya mengambil langkah untuk hanya berdiam diri.
"Tak perlu buat apa-apa, kita ketawa sahaja cukuplah dengan gelagat mereka, kita tak perlu ambil tindakan.
"Cerita satu lawaklah... orang seperti seperti Menteri Besar tidak sepatutnya cakap seperti ini kerana tidak mencerminkan kebijaksanaan," katanya.
No comments:
Post a Comment