BERITA HARIAN ONLINE
GEORGETOWN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menjangka peratusan pengundi yang rendah pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, berikutan keputusan Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan calon.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata faktor parti tertentu tidak mengambil bahagian dalam pilihan raya tidak boleh dijadikan asas untuk membuat andaian peratusan mengundi yang rendah.
Katanya, antara faktor utama mempengaruhi peratusan mengundi adalah sikap pengundi di sesuatu kawasan yang sememangnya sukar diramal dan keadaan cuaca pada hari mengundi.
"Oleh itu, SPR tidak meramalkan peratusan yang rendah walaupun BN tidak bertanding, tambahan lagi Penanti adalah kawasan yang kecil," katanya ketika dihubungi, semalam.
Wan Ahmad diminta mengulas kemungkinan peratusan keluar mengundi pada pilihan raya kecil
Penanti pada 31 Mei ini rendah berikutan keputusan BN tidak meletakkan calon.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan mempertahankan kerusi itu mencalonkan Timbalan Pengerusi PKR Pulau Pinang, Mansor Othman.
Seramai 15,384 pengundi layak mengundi pada pilihan raya kecil itu, termasuk 24 pengundi pos.
Pada pilihan raya umum tahun lalu, 15,421 orang layak mengundi dengan peratus mengundi 82.07 peratus.
Pilihan raya kecil DUN Penanti diadakan berikutan tindakan Mohammad Fairus Khairuddin daripada PKR meletak jawatan pada 16 April lalu, kira-kira seminggu selepas meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I.
No comments:
Post a Comment