Tuesday, May 19, 2009

Mafrel bantah SPR benar pondok panas di Penanti

MALAYSIA KINI


Mafrel, sebuah organisasi pemerhati dan pemantau pilihanraya adil dan bebas, mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menarik semula kebenaran mendirikan pondok panas dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti hujung bulan ini.

Koodinator Mafrel Pulau Pinang Jamaluddin Abdullah berkata pihaknya akan menghantar memorandum bantahan kepada SPR esok supaya pilihanraya kecil itu benar-benar bebas daripada aktiviti berkempen pada hari mengundi.

Katanya pengundi perlu diberi kebebasan untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dengan tenang tanpa sebarang pengaruh atau tekanan, lapor Bernama.

Ketika bercakap dalam persidangan akhbar di Bukit Mertajam malam tadi, beliau berkata memandangkan SPR telah menyediakan kemudahan semakan butiran pemilih, maka pondok panas ini tidak diperlukan.

Beliau berkata pondok panas itu juga tidak wajar diadakan berikutan Barisan Nasional (BN) tidak bertanding kali ini dan saingan terhadap calon yang bertanding sudah berkurangan.

"Kalau pembangkang menggunakan pondok panas untuk berkempen pada hari mengundi, adalah tidak adil kepada calon-calon bebas kerana sudah pasti jentera mereka tidak setanding dengan kemampuan Parti Keadilan Rakyat (PKR)," katanya.

Jamaluddin berkata sebelum ini SPR melarang parti-parti politik yang bertanding membina pondok panas di luar kawasan 50 meter dari pusat mengundi tetapi larangan itu ditarik semula selepas pakatan pembangkang menemui SPR baru-baru ini.

Katanya pertarungan calon pada pilihanraya kecil kali ini unik kerana pertandingan tertumpu kepada PKR dan beberapa calon bebas.

Menurutnya, Mafrel meletakkan lebih 50 pemantau untuk pilihanraya kecil itu dan akan melaporkan kepada SPR serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai sebarang salah laku atau perbuatan menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"Kami juga akan memantau sama ada PKR menggunakan jentera kerajaan negeri Pulau Pinang untuk kempennya dan kami akan mendedahkan perkara itu jika ia berlaku," katanya.

Pilihanraya kecil itu diadakan berikutan peletakan jawatan wakil rakyatnya, Mohammad Fairus Khairuddin pada 16 April lepas.

Berikutan kekosongan kerusi itu, SPR menetapkan Sabtu ini untuk penamaan calon dan 31 Mei sebagai hari mengundi jika terdapat pertandingan.

No comments: