UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang baru pulang dari New Zealand dikuarantin selama 12 jam sementara menunggu keputusan makmal, dipercayai mempunyai simptom influenza A (H1N1) di Hospital Sungai Buloh (HSB), hari ini.
Lelaki terbabit yang berusia 25 tahun dipercayai tiba pukul 8 malam tadi. Dia dijangkiti selesema sejak seminggu lalu semasa berada di negara itu.
Sebelum ini, lelaki tersebut telah datang untuk mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Subang tetapi diarahkan oleh doktor untuk merujuk ke HSB untuk pemeriksaan lanjut.
Menurut kakak mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Loh, adiknya telah pergi ke New Zealand tiga minggu lalu sebelum mendapat selesema minggu lepas.
"Adik saya telah pergi ke klinik di sana tetapi selesemanya masih tidak sembuh," katanya ketika ditemui di HSB di sini hari ini.
New Zealand adalah antara negara yang dikesan mempunyai virus H1N1 dan sehingga semalam, sebanyak tujuh kes dilaporkan di negara tersebut.
Semalam, seorang lelaki dan kanak-kanak, masing-masing berusia 43 dan 4 tahun dikuarantin di Hospital Tuanku Fauziah di Kangar, Perlis kerana mempunyai simptom H1NI. Mereka bagaimanapun disahkan negatif wabak itu, malam semalam.
Loh berkata, di HSB, doktor menyuruh adiknya menjalani ujian saringan sebelum jururawat meminta dia membawa pakaian untuk adiknya yang perlu dikuarantin.
Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia di wad kecemasan di hospital itu mendapati suasana di kawasan ini agak tenang, tidak seperti semalam dan Jumaat lalu.
Dianggarkan sebanyak lima buah ambulans tiba di HSB sejak pukul 10 pagi hingga 8.30 malam ini dengan petugasnya berpakaian khas, dipercayai membawa suspek yang disyaki menghidap H1N1.
Dua daripada ambulans itu datang dari Hospital Serdang, satu dari Hospital Kuala Lumpur, satu dari HSB manakala sebuah lagi dari Hospital Selayang.
Setiap ambulans yang tiba dipandu masuk ke dalam Bilik Dekon Aminasi yang dikhaskan bagi menurunkan pesakit.
No comments:
Post a Comment