Wednesday, May 20, 2009

Kerajaan Selangor hargai peranan media

Muhammad Arif Ismail


PETALING JAYA - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Negeri Selangor memberikan pengiktirafan rasmi terhadap peranan yang dimainkan oleh media massa dalam memberi pendidikan kepada masyarakat.

Beliau berkata demikian dalam Sambutan Hari Kebebasan Ahkbar 2009 Peringkat Negeri Selangor yang disambut seluruh dunia pada 3 Mei lalu yang diadakan di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dekat sini baru-baru ini.

Menurut beliau, tugas yang digalas oleh wartawan dan editor merupakan bukan kerja yang mudah, sebaliknya golongan ini selayaknya digelar sebagai hamba moden yang berkerja mencari, menapis dan memilih peristiwa atau kejadian yang mempunyai nilai berita untuk disiarkan kepada pembaca mahupun pendengar.

"Kita menyedari betapa sebilangan wartawan dan editor tidak menikmati bayaran yang setimpal dengan tugas yang dilakukan seharian suntuk. Itulah pengorbanan orang media massa termasuklah penjual surat khabar," tegas beliau.

Katanya lagi, kerja pencarian peristiwa dan penulisan cerita hari demi hari, di samping memastikan kualiti terus terpelihara, sememangnya meletihkan, malah membosankan.

"Peranan anda sangat bererti lantaran itulah sewajarnya ia perlu diingati dan dihargai

"Bagi negara yang kekurangan maklumat yang benar dan ketika pihak berkuasa melanggar prinsip demokrasi dan membiarkan negara porak peranda.

Disinilah peranan media menerusi kewartawanan penyiasatan dengan berusaha memberikan penjelasan terhadap situasi tertentu dalam usaha menyelamatkan keadaan agar kerajaan dilihat bertanggungjawab," kata Khalid.

Katanya tanpa kebebasan media di Malaysia, mustahil kita dapat melakukan perkara ini.

"Bagaimana mungkin media dapat mempertahankan kerajaan yang telus dan bertanggungjawab sekiranya media tidak dibenarkan menyiarkan berita dengan bebas," soalnya.

Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa tahap kebebasan media massa di Malaysia terus merudum sejak tahun demi tahun.

"Indeks Kebebasan Akhbar Antarabangsa yang dikelolakan oleh Kumpulan Wartawan Tanpa Sempadan setiap tahun menunjukkan tahap kebebasan akhbar media massa di Malaysia terus menurun.

"Dari kedudukan ke 92 pada tahun 2006 turun ke 124, pada tahun 2007 dan turun lagi ke 132 pada tahun lepas. Ini adalah berpunca daripada negara kita masih lagi menggunakan Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang sudah ketinggalan zaman.

"Budaya mengklasifikasikan setiap dokumen sebagai rahsia dianggap melampau kerana tidak semua dokumen mendatangkan mudarat kepada keselamatan negara dan justeru itu, tidak wajar disimpan daripada pengetahuan awam," katanya. - azm

No comments: