Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan mewujudkan sebuah Institut Pendidikan Guru (IPG) yang khusus melatih jurulatih dan pegawai teknik sukan di kalangan guru.
Menurut beliau, khidmat jurulatih profesional akan digunakan di IPG Sukan untuk memastikan jurulatih dan pegawai teknik sukan sekolah mendapat latihan dan pendedahan secara sistematik dan tersusun.
"Dengan adanya jurulatih dan pegawai teknik sukan sekolah, kerajaan berharap tahap kecekapan pengurusan sukan sekolah dapat dipertingkatkan. Ia juga mampu mengurangkan bebanan guru-guru sebelum ini yang terpaksa memberi tumpuan pada kedua-dua bidang iaitu akademik dan sukan,'' ujarnya.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) Ke-51 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini, beliau berkata, dengan adanya pengkhususan dalam kedua-dua bidang itu, tahap kecekapan pengurusan sekolah juga akan dapat ditingkatkan.
Ditanya kriteria kelayakan utama bakal guru pelatih yang akan diambil untuk menjalani latihan di IPG Sukan itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kelayakannya secara terperinci akan ditetapkan kelak oleh kementerian sama ada akan diambil daripada kalangan graduan Sains Sukan atau sebaliknya.
"Saya tidak boleh memperincikannya lagi tetapi ia akan diumumkan kelak, hanya mereka yang layak akan diambil kerana kita mahu tambah bilangan guru mahir dan terlatih dalam bidang sukan.
"Penempatan guru kelak akan dibuat berdasarkan pada keperluan pembangunan sukan bagi setiap sekolah, bagi sukan teras dan berprofil tinggi mungkin lebih ramai diperlukan,'' katanya.
Sementara itu, Muhyiddin juga berharap agar setiap sekolah meletakkan sukan sebagai satu bidang yang diberikan keutamaan selain bidang akademik.
Beliau berkata, ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan bukan sahaja modal insan yang berdaya saing tetapi juga atlet pelajar bertaraf dunia.
Sehubungan itu, katanya, satu sistem pengiktirafan terhadap penyertaan dan kejayaan dalam aktiviti sukan akan dirangka untuk membolehkan prestasi pelajar dinilai secara lebih holistik dan tidak hanya tertumpu pada prestasi dalam peperiksaan semata-mata.
No comments:
Post a Comment