MALAYSIA KINI
(kemaskini 4.27pm)
Kementerian Kesihatan masih mencari 86 penumpang dua penerbangan yang turut membawa dua pelajar yang disahkan dijangkiti wabak influenza A (H1N1) minggu lalu.
Daripada jumlah tersebut, 17 penumpang MAS MH091 dari Newark, Amerika Syarikat yang tiba pagi 13 Mei - turut membawa pesakit pertama - belum melaporkan diri kepada kementerian.
Selebihnya 69 penumpang AirAsia AK5358 dari Sepang ke Pulau Pinang pada hari yang sama - turut membawa pesakit kedua, yang pulang dalam penerbangan bersama pesakit pertama.
Bagi pesawat MH091, tujuh daripada 24 penumpang sudah dapat dikesan dan kini dikuarantin di rumah masing-masing dan "buat masa ini mereka adalah sihat", kata satu kenyataan kementerian tersebut petang ini.
Bagi pesawat yang berlepas dari terminal tambang murah LCCT, seramai 33 orang penumpang dan empat anak kapal telah dikuarantin di rumah dan berada dalam keadaan sihat.
"Kementerian Kesihatan ingin menasihatkan para penumpang serta kakitangan penerbangan MH 091 dan AK 5358 yang terbabit, agar memberikan kerjasama dengan pihak kesihatan," kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.
Tambahnya, para penumpang dua pesawat itu harus mengikuti langkah penumpang-penumpang lain yang dikuarantin di rumah dan menghubungi kementerian di talian 03 8881 0200 atau 03 8881 0300..
Anggota kesihatan akan melaksanakan pemantauan di rumah, tambah Dr Mohd Ismail dalam satu kenyataan.
Mereka yang mengalami tanda-tanda wabak tersebut - seperti demam dan salah satu daripada gejala berikut: batuk, susah bernafas, sakit badan, sakit kepala atau sakit tekak - diminta segera ke hospital berdekatan.
No comments:
Post a Comment