Oleh Norliza Wasilan
KUALA LUMPUR: Bangunan kerajaan sama ada baru atau sedia ada digalak mengutamakan ciri dan reka bentuk bangunan hijau atau green building bagi menjimatkan kos operasi sekali gus mengurangkan perbelanjaan untuk kerja penyelenggaraan sehingga 60 peratus.
Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Abu Mansor, berkata konsep bangunan hijau itu mungkin memerlukan kos lebih tetapi bagi tempoh panjang ia memberi keuntungan dalam pelbagai aspek.
“Bagi kerajaan, kementerian ini akan mencadangkan pada masa akan datang supaya bangunan kerajaan (memberi keutamaan) dalam reka bentuk berdasarkan ciri bangunan hijau.
“Ciri ini membantu mengurangkan kos operasi sebagai contoh, bangunan lama kementerian tenaga air dan komunikasi yang kurang menggunakan tenaga elektrik.
“Dalam keadaan dunia mengalami pemanasan global, kita memerlukan usaha ke arah pelaksanaan bangunan hijau dan menerusi Indeks Bangunan Hijau (GBI) ini diharap memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai manfaatnya,” katanya selepas menyampaikan ucaptama pelancaran dan forum Indeks Bangunan Hijau (GBI) di sini, semalam.
Bangunan yang menekankan konsep ini dinilai berdasarkan enam kriteria GBI Malaysia iaitu keberkesanan tenaga, mutu persekitaran dalam bangunan, pengurusan dan perancangan kawasan secara lestari, sumber dan material, mutu air dan inovasi.
Enam garis panduan itu memberi peluang kepada pemaju dan pemilik bangunan untuk mereka dan membangunkan bangunan hijau yang boleh jimatkan tenaga, air dan persekitaran lebih sihat kepada masyarakat.
Terdahulu pada majlis pelancaran, Shaziman berkata, kajian di Malaysia menunjukkan bangunan di negara ini secara purata menggunakan 250 hingga 350 kilowat-jam meter persegi setahun.
Bagaimanapun, jika menggunakan reka bentuk bangunan hijau ia akan menjimatkan kurang 200 kilowat-jam meter persegi setahun.
“Saya harap perkara ini diberi penekanan oleh arkitek Malaysia dalam mereka bentuk bangunan kerajaan pada masa akan datang,” katanya.
No comments:
Post a Comment