Friday, April 24, 2009

Pilihan raya kecil DUN Penanti sudah pasti?

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


PUTRAJAYA: Pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti yang kosong minggu lalu sudah diputuskan untuk diadakan? Pakatan Rakyat memaklumkan bahawa maklumat yang diterima menunjukkan pilihan raya kecil sudah diputuskan untuk diadakan.

Bagaimanapun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya akan mengumumkan Isnin ini.

Salah seorang pemimpin Pakatan Rakyat, R. Sivarasa berkata, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof mengesahkan yang pilihan raya kecil di DUN berkenaan akan diadakan.

"Beliau berkata pilihan raya Penanti memang akan diadakan, tapi tak dinyatakanlah bila tarikhnya... SPR akan umumkan pada Isnin ini," kata beliau yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika ditemui selepas SPR mengadakan pertemuan dengan parti-parti politik mengenai pendekatan baru mengendalikan pilihan raya secara tenang dan terurus di sini semalam.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan bahawa penundaan pengumuman mengenai pilihan raya kecil DUN Penanti, yang sepatutnya diadakan hari ini, adalah kerana urusan pentadbiran.

SPR telah mengadakan mesyuarat berkaitan kelmarin.

Abdul Aziz berkata, sehingga ini SPR belum menerima kenyataan bertulis daripada pemilik-pemilik bangunan yang akan digunakan termasuk bagi penamaan calon dan pengiraan undi, juga kenyataan bertulis mengenai persetujuan pegawai pengurus pilihan raya dan penolong-penolong pegawai pengurus pilihan raya untuk mengendalikan pilihan raya itu.

"Bila urusan pentadbiran belum selesai bagaimana kita nak umumkan?" katanya.

Abdul Aziz menolak tanggapan kononnya terdapat "pengaruh luar" yang menyebabkan penundaan tersebut.

"Ini tidak ada kena-mengena dengan pengaruh politik, ini isu dalaman kami sendiri. Kami sudah bersedia untuk mengadakan pilihan raya dan sebaik sahaja kami dapat pengesahan mengenai perkaraperkara ini maka kami akan umumkan," katanya.

Penundaan pengumuman tarikh pilihan raya itu menimbulkan spekulasi beberapa pihak termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dipetik oleh akhbar parti itu, Harakah, sebagai berkata SPR kini sudah tidak bebas dan ada orang belakang yang menentukan hala tujunya.

Pilihan raya itu bakal diadakan berikutan peletakan jawatan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin, 33, dari Parti Keadilan Rakyat pada 16 April lalu dengan alasan untuk membersihkan namanya daripada segala tohmahan selain bagi membolehkan beliau melanjutkan pelajaran.

Beliau sebelum itu turut meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I sebelum itu berikutan dakwaan terlibat dengan rasuah tetapi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia hari ini menjelaskan ia tidak ada asas untuk mendakwa beliau.

Abdul Aziz hari ini turut mempengerusikan mesyuarat bersama wakil parti-parti politik daripada Barisan Nasional (BN) dan pembangkang mengenai penguatkuasaan sepenuhnya Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 termasuk bagi melarang sebarang bentuk kempen pada hari mengundi.

Bagaimanapun, katanya, larangan bagi mengelak sebarang masalah daripada segi keselamatan awam dan pengundi itu belum dapat dilaksanakan kerana kata sepakat masih belum dapat dicapai.

"Ini merupakan perjumpaan pertama dan kita akan terus berbincang. SPR perlu melihat perkara ini secara mendalam supaya ia tidak menimbulkan sebarang masalah apabila dilaksanakan nanti," katanya.

Mengenai dakwaan beberapa pihak kononnya SPR mengikut nada BN dalam mencadangkan agar pindaan terhadap akta bagi menghalang wakil rakyat mengosongkan kerusi tanpa sebab munasabah, Abdul Aziz berkata, ia hanya pandangan SPR sebagai badan yang melaksanakan pilihan raya di negara ini bukan kerana dipengaruhi manamana pihak.

Beliau berkata, walaupun ia merupakan hak individu untuk meletakkan jawatan sebagai anggota DUN, namun untuk mengadakan suatu pilihan raya bukan mudah dan melibatkan banyak kerja, lebihlebih lagi apabila ia berlaku secara berterusan.

"Kita perlu lihat masa yang sesuai, sama ada ada program-program lain atau musim-musim tertentu seperti musim tengkujuh, kena tentukan tempat-tempat pengundian, pengurus-pengurus pilihan raya, tentukan daftar pemilih, kursus latihan kepada kakitangan dan belanjawan.

"Perbelanjaan juga semakin meningkat apabila semakin banyak pilihan raya diadakan, jadi kita harap perkara-perkara sebegini dapat dikurangkan," katanya.

No comments: