SINAR HARIAN ONLINE
PUTRAJAYA – Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan pendirian parti itu sama ada akan meletakkan calon pa da pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti dalam masa terdekat.
Pengerusinya yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Biro Politik UMNO akan membincangkan perkara itu.
“Nantilah, Biro Politik UMNO akan bersidang dalam sedikit masa lagi untuk menentukan pendirian kita,” katanya yang juga Pengerusi biro terbabit pada sidang media mengenai liberalisasi sektor kewangan, di sini, semalam.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam telah menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Penanti akan diadakan pada 23 Mei dan sekiranya ada pertandingan, pembuangan undi dijalankan pada 31 Mei depan.
Mengulas peraturan baru SPR melarang mana-mana parti politik mewujudkan pondok panas selain turut dilarang meraih undi ketika hari pengundian, Najib berkata, ia merupakan satu langkah yang baik.
Menurutnya, pondok panas pada pilihan raya kecil sebelum ini menyebabkan kehadiran penyokong terlalu ramai sehingga boleh menimbulkan ketegangan dan kekacauan antara parti politik yang bertanding.
“Jadi kalau tidak ada pondok panas ini, saya fikir ia akan menimbulkan satu suasana yang lebih tenteram dan mengelakkan kekacauan serta kerisauan pengundi untuk keluar mengundi nanti,” katanya.
Pilihan raya kecil keenam selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) itu diadakan selepas penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang meletak jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, 17 April lalu.
Setakat ini, walaupun kemungkinan BN tidak meletakkan calonnya, pilihan raya kecil DUN Penanti dijangka tetap akan diadakan selepas bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Aminah Abdullah, 56, menawarkan diri bertanding sebagai calon Bebas, kelmarin.
No comments:
Post a Comment