Wednesday, April 22, 2009

Kedudukan kerusi DUN Penanti diumum Isnin ini

BERNAMA


PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan mengenai kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Penanti, Pulau Pinang, Isnin ini.

Pegawai Perhubungan Awam SPR Sabri Said berkata Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof akan membuat pengumuman itu pada sidang media yang akan diadakan pada Isnin ini, jam 10 pagi di Ibu Pejabat SPR di sini.

"SPR yang bermesyuarat hari ini telah membincangkan perkara-perkara berkaitan kekosongan kerusi N.12 Penanti, Pulau Pinang.

"Berkaitan dengan perkara tersebut, sidang media oleh pengerusinya yang sepatutnya diadakan pada Jumaat ini, telah ditunda kepada Isnin depan (27 April 2009) di Ibu Pejabat SPR di sini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohammad Fairus Khairuddin, 33, dari Parti Keadilan Rakyat, telah meletak jawatan sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti yang turut meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I sebelum itu berikutan dakwaan terlibat dengan rasuah.

Sebelum ini, Mohammad Fairus, yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dilaporkan sebagai berkata, langkah itu adalah bagi membersihkan namanya daripada segala tohmahan selain bagi membolehkan beliau melanjutkan pelajaran.

No comments: