Thursday, April 23, 2009

ISA : Lima Tahanan warga Indonesia, GMI serah memorandum kepada Kedutaan Indonesia

Amir Adzim


KUALA LUMPUR : Gerakan Mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (GMI) berkumpul di Kedutaan Indonesia bagi menghantar memorandum kepada Duta Indonesia berhubung penahanan lima rakyat Indonesia, di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Salah seorang tahanan iaitu, Agus Salim dari Medan Indonesia, ditahan pada 5 Mac lalu di sebuah restoran di Larkin Johor ketika sedang bekerja tanpa sebarang alasan yang munasabah.

Memorandum ini adalah bertujuan memohon kerjasama daripada Kerajaan Indonesia supaya menuntut agar Kerajaan Malaysia membebaskan kesemua warganegara Indonesia yang sedang ditahan dibawah ISA di Malaysia.

GMI diwakili oleh Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh sementara Duta Indonesia mewakilkan setiausaha pertamanya, Slamet Nuegroho dan setiausaha keduanya Susapto Anggoro Broto.

Keluarga Agus diugut Polis

Menurut Syad Ibrahim, dua ahli keluarga Agus Salim juga diancam dan diugut supaya tidak bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk GMI.

“Selepas mereka bertemu dengan Agus Salim di Bukit Aman semalam, lebih kurang beberapa jam mereka sebenarnya telah di gertak bertubi-tubi oleh pihak polis dan seterusnya mengakibatkan mereka tidak mahu bersama dengan kami bertemu di Kedutaan Indonesia pagi ini,” tambah Syed Ibrahim lagi.

Beliau berkata, tindakan menggertak keluarga mangsa adalah satu tindakan yang bertentangan dengan hak asasi dan ini juga menunjukan seolah-olah kerajaan begitu takut untuk berhadapan dengan perkara ini.

“Jadi ini adalah satu pencabulan hak asasi manusia awal-awal lagi, bukan ditahan tapi seolah-olah macam ditahan dibawah ISA,” jelas Syed Ibrahim lagi.

Menurut seorang Ahli Jawatankuasa (AJK) GMI, Nashitah yang turut serta dalam perjumpaan keluarga Agus di Bukit Aman, kelakuan keluarga Agus jelas berubah selepas keluar dari melawat Agus.

“Ketika menghantar mak dan adik Agus di Bukit Aman, saya hanya tunggu diluar kerana tidak dibenarkan masuk. Lebih kurang satu jam lebih, adik lelaki Agus, Junaidi Salim keluar dengan ditemani seorang pegawai dari Unit Khas menju ke van saya. Saya memang nampak muka dia berubah seperti ketakutan,” kata Nashitah.

“Kemudian dia suruh saya bawa dia pulang kerumah sewanya untuk membawa baju kerana diarahkan pulang ke Johor Bharu oleh pihak polis. Tetapi saya pelik kerana maknya masih lagi ada di Bukit Aman,” tambah Nashitah.

Menurut Nashitah, dia kemudian cuba menghubungi beberapa peguam dan rakan-rakan untuk memberi tekanan kepada pihak polis bagi membebaskan mak Agus kerana ia jelas satu bentuk pencabulan hak asasi manusia menahan seseorang tanpa sebab.

Setelah memberi tekanan kepada pihak polis, akhirnya ibu Agus dilepaskan dan disuruh pulang ke Johor Bharu dengan segera.

Kejadian itu jelas tidak boleh diterima lebih-lebih lagi di Malaysia ini yang mengamalkan sistem demokrasi. Pihak polis secara terang-terangan mencabul hak asasi seseorang yang juga dari negara lain.

GMI walau bagaimanapun tidak akan mengaku kalah dan akan terus memberi tekanan kepada pihak kerajaan untuk membebaskan Agus dan juga empat tahanan yang lain.

Keempat-empat tahanan tersebut, Zainun Rasyid, Mahfudl Saifuddin dan Mulyadi juga dituduh terlibat dengan gerakan Jemaah Islamiyaah serta Ahmad Ghafar Shahril yang dituduh menganggotai Darul Islam.

Mengikut perancangan asal, GMI akan ditemani oleh keluarga Agus iaitu ibunya, Katem dan adik lelakinya, Junaidi namun mereka berdua tidak kelihatan kerana dikhabarkan sudah pulang ke Johor Bharu dengan tergesa-gesa keran bimbang diancam lagi.

No comments: