Wednesday, January 7, 2009

Selangor Sertai Misi Bantuan Kemanusiaan Ke Palestin

NOOR ALLIA KASSIM


SHAH ALAM – Selangor akan menghantar satu pasukan yang diterajui Yayasan Amal bagi melaksanakan misi bantuan kemanusiaan ke Palestin tidak lama lagi.

Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pasukan yang akan disertai doktor dan anggota paramedik itu akan menyalurkan bantuan perubatan dan sosial kepada penduduk di Gaza.

Misi bantuan yang akan berpengkalan di sempadan Mesir itu dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

Abdul Khalid berkata kerajaan negeri mengalu-alukan mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menyertai misi berkenaan agar berhubung terus dengan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Komunikasi, Rodziah Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru, Dr Abd Rani Osman.

Beliau berkata buat permulaan kerajaan negeri menyediakan peruntukan kira-kira RM500,000 bagi memulakan misi itu.

“Kerajaan negeri berdoa agar kekejaman ini dihentikan dan berharap kerajaan pusat akan memberi lebih tekanan kepada negara-negara kuasa besar yang masih dilihat berat sebelah dalam menangani isu pencerobohan Palestin oleh Israel,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) petang ini.

No comments: