BERNAMA
PULAU PINANG: Mayat seorang model sambilan ditemui dalam keadaan ngeri setelah dia dipercayai terjatuh dari kediamannya di tingkat 11 Apartmen Villa Mas di sini kirakira 6.30 pagi ini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Hatta Md Zin berkata mayat mangsa berusia 22 tahun yang lengkap dengan pakaian tidur itu ditemui di perkarangan apartmen berkenaan oleh penduduk di situ.
Beliau berkata mangsa yang berasal dari Alor Star, Kedah, menyewa bersama dua lagi rakannya di rumah berkenaan sejak beberapa bulan lepas.
"Menurut rakan serumah mangsa, mereka tidak menyedari apa yang berlaku ke atas mangsa kecuali hanya mendengar jeritannya pagi ini kerana semasa kejadian, mereka sedang tidur," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Hatta berkata polis tidak menolak kemungkinan mangsa membunuh diri berikutan tiada kesan pecah masuk atau jenayah di rumahnya.
"Kita masih menyiasat kejadian itu sama ada berunsur jenayah atau bunuh diri. Hasil pemeriksaan polis turut menemui serbuk dadah jenis ketamin dalam bilik mangsa," katanya. Hatta berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat.
No comments:
Post a Comment